
KUALA LUMPUR - Gabungan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada ahli perniagaan Liow Soon Hee dalam kes pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta.
Gabungan itu berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan mengapa pihak pendakwaan menghentikan prosiding terhadap Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, selain mendedahkan pertimbangan yang menjadi asas kepada keputusan tersebut.
Menurut NGO terbabit, perintah DNAA yang diberikan pada Jun 2023 hanya diketahui umum baru-baru ini selepas peguam Nicky, Datuk Rajpal Singh, mengesahkan bahawa Mahkamah mengeluarkan perintah itu pada 15 Jun 2023 susulan representasi yang dikemukakan anak guamnya.
“Selepas lebih tiga tahun, AGC masih belum menjelaskan mengapa representasi itu diterima, apakah pertimbangan yang diambil kira, dan sama ada pertuduhan berkenaan akan dikemukakan semula pada masa hadapan.
“Isunya bukan sekadar mengenai keputusan dalam satu kes, sebaliknya membabitkan soal ketelusan. Orang ramai berhak mengetahui sebab pendakwaan dihentikan, bukannya hanya dimaklumkan mengenainya melalui sidang media peguam bela beberapa tahun kemudian,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan.
Julai lalu media melaporkan, Nicky dilepaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan tiga tahun sebelum itu.
Sebelum ini, Rajpal memaklumkan, Nicky telah melunaskan tunggakan cukai berjumlah RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan pengemukaan penyata cukai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nicky yang merupakan seorang pengarah syarikat didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta memiliki dana dipercayai diperoleh daripada hasil aktiviti haram di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara 2016 hingga 2021.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Dalam pada itu, gabungan berkenaan turut menggesa AGC mendedahkan asas keputusan memberikan DNAA, faktor yang dipertimbangkan serta kronologi yang membawa kepada keputusan tersebut.
Mereka juga mahu AGC menjelaskan pendiriannya berhubung sebarang pertuduhan lain yang masih belum diselesaikan.
Selain itu, gabungan tersebut menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta Parlimen memastikan sebarang rang undang-undang pada masa hadapan yang memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya disertakan dengan garis panduan berkanun mengenai penggunaan budi bicara pendakwaan.
Mereka turut mencadangkan supaya reformasi itu mewajibkan penerbitan laporan tahunan yang mengandungi statistik terperinci mengenai kes pendakwaan yang dihentikan, alasan di sebalik setiap keputusan serta hasil akhirnya.
"Keperluan ini mesti dilaksanakan serentak dengan pindaan Perlembagaan, bukannya diperkenalkan pada peringkat kemudian. Pemisahan fungsi tanpa mekanisme perlindungan sedemikian hanya akan mengubah struktur pentadbiran semata-mata, bukannya mewujudkan asas kepada reformasi yang benar-benar bermakna,” menurut kenyataan itu. - Getaran, 5 Ogos 2026




