DNB lengkapkan pembiayaan RM5.2 bilion bagi menyokong fasa seterusnya pertumbuhan 5G

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2026 • 2:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNB lengkapkan pembiayaan RM5.2 bilion bagi menyokong fasa seterusnya pertumbuhan 5G Image from: DNB lengkapkan pembiayaan RM5.2 bilion bagi menyokong fasa seterusnya pertumbuhan 5G hamden01/10/2026 - 14:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - Digital Nasional Bhd (DNB) melengkapkan pembiayaan berjangka Islam secara sindiket bernilai RM5.2 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan pembiayaan jangka panjang syarikat ketika Malaysia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya dwirangkaian 5G .

 

DNB dalam kenyataan berkata pembiayaan itu akan memudahkan perancangan keluar Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemegang saham biasa dan peralihan kepada pemilikan sama rata dalam kalangan pemegang saham pengendali rangkaian mudah alihnya, iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd dan YTL Power International Bhd.

 

Peralihan pemilikan tersebut dijangka berlaku pada awal suku keempat 2026, manakala MOF Inc akan mengekalkan saham khas dalam DNB bagi melindungi kepentingan negara.

 

Pembiayaan berkenaan turut merangkumi pembiayaan semula kemudahan kredit pusingan DNB yang dijamin kerajaan dan tamat tempoh pada 29 September, selain mewujudkan struktur pembiayaan jangka panjang bagi menyokong pertumbuhan syarikat.

 

Penyempurnaan pembiayaan itu bertepatan dengan pemberian penuh spektrum 100MHz dalam jalur 3.3–3.4GHz serta penukaran keseluruhan pegangan spektrum 240MHz DNB kepada penetapan spektrum.

 

Penetapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berkuat kuasa mulai 1 Oktober.

 

Menurut DNB, blok spektrum 240MHz tersebut akan meningkatkan kapasiti, kecekapan dan prestasi rangkaian, selain menyokong teknologi termasuk Massive MIMO, pengagregatan pembawa, 5G Advanced dan keupayaan rangkaian dipacu kecerdasan buatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata pembiayaan berkenaan menyediakan platform mampan untuk syarikat beroperasi secara bebas sambil meneruskan pelaburan dalam peningkatan rangkaian dan peluasan kapasiti.

 

“Penyempurnaan pembiayaan RM5.2 bilion ini merupakan pencapaian penting bagi DNB dan mencerminkan keyakinan kukuh terhadap asas perniagaan, rekod operasi serta peranan jangka panjang kami dalam ekonomi digital Malaysia,” katanya.

 

Maybank Investment Bank Bhd bertindak sebagai pengatur utama yang diberi mandat, pengurus buku dan pengatur penyelaras bagi pembiayaan itu.

 

AmInvestment Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd pula merupakan pengatur utama bersama yang diberi mandat, manakala AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat kewangan DNB. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved