KIP REIT fokus pertumbuhan hasil selepas aset lepasi RM2 bilion - TA Research

Business & FinanceProperty
1 Oct 2026 • 12:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KIP REIT fokus pertumbuhan hasil selepas aset lepasi RM2 bilion - TA Research Image from: KIP REIT fokus pertumbuhan hasil selepas aset lepasi RM2 bilion - TA Research hamden01/10/2026 - 12:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - KIP REIT dijangka memberi tumpuan lebih besar kepada pertumbuhan hasil agihan sesaham (DPU) secara organik selepas pengambilalihan KIPMall Setapak, dengan strategi merangkumi peningkatan kadar sewa, penyusunan semula campuran penyewa dan inisiatif peningkatan aset (AEI).

 

TA Research berkata, penambahan KIPMall Setapak yang sebelum ini dikenali Setapak Central meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) KIP REIT kepada kira-kira RM2.2 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM2 bilion lebih awal daripada tempoh asal pada akhir 2027.

 

Selain peningkatan kadar sewa dan sewaan berasaskan perolehan, pihak pengurusan turut memberi tumpuan kepada pengoptimuman ruang serta kecekapan kos bagi menyokong pertumbuhan DPU.

 

Kerja-kerja peningkatan aset yang akan datang di KIPMall Masai dan KIPMall Kota Warisan, selain pengembangan AEON Mall Kinta City, dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan KIP REIT selanjutnya.

 

Menurut TA Research, KIPMall Setapak dijangka menyumbang pendapatan selama sembilan bulan dalam FY27, susulan jurang kira-kira sebulan antara penyempurnaan penempatan dan pengambilalihan tersebut.

 

Unjuran baharu turut mengambil kira tempoh gangguan sewaan pasar raya serta pinjaman pengambilalihan sebanyak RM272 juta pada kadar 4.25%.

 

Selepas pengambilalihan, nisbah gearan KIP REIT adalah kira-kira 43%, manakala ia dijangka kekal pada 43% hingga 44% bagi FY27 hingga FY29.

 

Penganalisis menaikkan unjuran pendapatan KIP REIT bagi FY27 hingga FY29 masing-masing sebanyak 14.1%, 22.2% dan 27.3%.

 

Bagaimanapun, unjuran DPU FY27 disemak turun 2.9% kepada 7.39 sen, mencerminkan peningkatan jumlah unit diterbitkan serta penyempurnaan penempatan persendirian sebelum KIPMall Setapak mula menyumbang pendapatan.

 

Walaupun begitu, DPU FY27 masih dijangka meningkat 1.8% tahun ke tahun daripada 7.26 sen.

 

Bagi FY28 dan FY29, sumbangan setahun penuh daripada KIPMall Setapak serta pertumbuhan sewaan dijangka meningkatkan DPU masing-masing sebanyak 1.0% dan 5.3% berbanding unjuran sebelumnya.

 

Kekalkan saranan Beli, TP RM1.18

Dari segi penilaian, TA Research mengekalkan saranan Beli terhadap KIP REIT dengan harga sasaran (TP) disemak kepada RM1.18.

 

TP itu berdasarkan sasaran hasil CY27 sebanyak 6.75% serta premium ESG sebanyak 3%.

 

Pada harga semasa, KIP REIT menawarkan anggaran hasil agihan FY27 sebanyak 8.7%, berbanding purata 7.1% bagi kumpulan setara MREIT.

 

Menurut penganalisis, jurang hasil tersebut mencerminkan daya tarikan KIP REIT berdasarkan pendedahannya kepada pusat beli-belah kejiranan yang defensif serta prospek pertumbuhan sewaan yang positif.

 

KIP REIT turut dikekalkan sebagai pilihan utama dalam sektor MREIT, dengan lawatan ke KIPMall Setapak mengukuhkan pandangan positif terhadap aset berkenaan.

 

Ia disokong oleh pendapatan hartanah bersih (NPI) asas yang lebih kukuh, perubahan penyewa yang dirancang serta peluang meningkatkan pendapatan sewaan menerusi pembaharuan sewaan akan datang.

 

Antara risiko utama yang dikenal pasti ialah peningkatan sewaan yang lebih lemah, kelewatan pembukaan penyewa, kos pengubahsuaian lebih tinggi serta peningkatan tidak dijangka dalam kos pembiayaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved