DAGANG NeXchange Berhad (DNeX), menerusi anak syarikatnya, Ping Petroleum Limited (Ping), memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 20 peratus dalam TI Exploration & Production Sdn Bhd (TI EP) daripada TI Petroleum Sdn Bhd, anak syarikat Terengganu Inc.
Pengerusi DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pengambilalihan tersebut mampu memperluaskan lagi perniagaan tenaga DNeX, selari dengan strategi lebih luas Kumpulan untuk memperkukuh portfolio tenaganya di samping membina kehadiran yang lebih kukuh dalam peluang tenaga serantau.
Menurutnya, perkembangan tersebut juga membuka laluan kepada Ping untuk meningkatkan penyertaannya dalam sektor tenaga negara bersama rakan strategik yang memahami landskap tempatan serta rantaian bekalan, kerangka kawal selia dan keutamaan pembangunan tenaga jangka panjang negeri Terengganu.
"Pengambilalihan ini merupakan satu langkah penting bagi DNeX Energy dalam memperluaskan jejak di pasaran domestik.
"Dengan menggabungkan keupayaan teknikal kami dengan kedudukan strategik TI EP, kami bukan sahaja membuka peluang segera, malah mewujudkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan dalam sektor huluan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, berlangsung majlis pertukaran dokumen di Kuala Lumpur selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) DNeX ke-55.
DNeX diwakili Syed Zainal bersama Naib Presiden Kanan Pembangunan dan Operasi Ping Petroleum Sdn Bhd, Muhamad Azhar Md Zain.
Terengganu Inc pula diwakili Presidennya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan serta Ahli Lembaga Pengarah TI Petroleum, Datuk Hilmi Mohamed @ Harun, bersama Naib Presiden yang juga Ketua Kluster Petroleum, Noor Tuah Jaafar.
Kerjasama tersebut dijangka membuka sinergi yang signifikan menerusi kedudukan strategik Terengganu Inc sebagai syarikat pegangan pelaburan negeri yang mengurus serta memantau pelbagai entiti perniagaan, selain aset komersial dan pelaburan bagi pihak kerajaan negeri.
Sementara itu, Burhanuddin berkata,pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan DNeX dan Ping Petroleum dalam membangunkan TI EP sebagai platform pelaburan huluan yang berwibawa.
"Kerjasama ini akan terus memperkukuh penyertaan Terengganu dalam sektor minyak dan gas, di samping menyokong aspirasi kami untuk mewujudkan nilai mampan serta manfaat ekonomi jangka panjang kepada negeri,".





