DNeX, Havelsan jalin kerjasama strategik sedia rumusan digital termaju di Malaysia dan Turkiye

20/05/2025 - 18:17
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir bertukar dokumen yang ditandatangani dengan Naib Presiden Havelsan, Sevket Unal sempena LIMA 2025 di Langkawi. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Mei - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menjalinkan kerjasama strategik dengan, Havelsan Hava Elektronik Sanayi bagi membangunkan dan memasarkan rumusan digital termaju untuk sektor awam dan swasta di Malaysia dan Turkiye dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing.
Kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan digital DNeX secara signifikan dengan memberikan akses kepada teknologi bertaraf tinggi, terutamanya dalam bidang kritikal seperti sistem misi kritikal, data analitik, keselamatan siber, dan platform digital perusahaan.
Pada masa yang sama, Havelsan juga akan dapat memanfaatkan rumusan pemudahan perdagangan DNeX serta rumusan Kecerdasan Buatan (AI) yang dibangunkan secara dalaman, yang boleh dipasarkan kepada sektor awam dan swasta di Turkiye.
Kedua-dua pihak juga akan bersama-sama membangunkan dan memasarkan rumusan Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) Kovan milik Havelsan, termasuk penstrukturan semula proses perniagaan secara bersama bagi memastikan kesesuaian produk dalam kalangan perusahaan dan organisasi di Malaysia.
Perjanjian Induk (HOA) antara DNeX dan Havelsan itu dimetrai di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 dan disempuranakan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Havelsan, Dr Mehmet Akif Nacar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, kerjasama itu merupakan kemajuan penting dalam mengukuhkan peranan kumpulan itu sebagai penyedia rumusan digital untuk sektor awam dan swasta di Malaysia, sambil membawa kepakaran teknikal mereka ke Turkiye.
“Kerjasama ini membolehkan kami membawa keupayaan IT berteknologi tinggi kepada organisasi di Malaysia, membantu mereka meningkatkan kecekapan operasi dan mengamalkan strategi membuat keputusan berasaskan data.
"Ini sejajar dengan strategi kami untuk mengukuhkan kehadiran dalam sektor-sektor yang menuntut tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi yang tinggi. Tambahan pula, kami dapat bekerjasama dengan entiti yang kukuh dan dipercayai untuk membangunkan dan memasarkan perkhidmatan Pemudahan Perdagangan kami ke Turkiye dan rantau sekitarnya,” katanya.
Mehmet berkata, kerjasama itu menegaskan komitmen pihaknya untuk menyokong transformasi digital dalam sektor-sektor utama.
"Kami yakin rumusan inovatif kami akan meningkatkan lagi ekosistem digital Malaysia serta memperkukuhkan hubungan ekonomi dan teknologi antara kedua-dua negara," katanya.
Kerjasama itu selari dengan matlamat DNeX untuk menjadi penyedia utama rumusan berteknologi tinggi bagi transformasi digital Malaysia, sekali gus mempertingkatkan ekosistem digital negara dengan teknologi termaju. - DagangNews.com
standard




