SAMA, Mission Hubs jalin kerjasama strategik perkukuh sektor kreatif rentas sempadan

LocalBusiness & Finance
15 May 2025 • 12:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SAMA, Mission Hubs jalin kerjasama strategik perkukuh sektor kreatif rentas sempadan

image is not available

15/05/2025 - 12:58

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 Mei - Southeast Asia Marketing Alliance (SAMA) dan Mission Hubs memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam sektor kreatif.

Kerjasama itu dijangka membuka laluan kepada pelaksanaan kempen merentasi sempadan dengan lebih lancar, membolehkan jenama, dan agensi bergerak lebih pantas.

Industri global dijangka menjana hasil pengiklanan AS$1 trilion (RM4.7 trilion) menjelang 2026, dengan Asia Pasifik menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan itu.

Pengarah Urusan MISSION Hubs, Paul Squirrell berkata, kerjasama itu tepat pada masanya memandangkan permintaan terhadap agensi kreatif semkain meningkat.

"Perniagaan kini memerlukan rakan agensi yang boleh bertindak pantas, memahami budaya tempatan, tetapi dalam masa sama berupaya memenuhi jangkaan global pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

SAMA merupakan pakatan agensi bebas dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Hong Kong meliputi lebih 16 bidang kepakaran dalam pemasaran dan komunikasi.

Mission Hubs menaungi 13 agensi pemenang anugerah dalam bidang kreatif, digital, PR, pemasaran prestasi, data, dan AI.

Kedua-dua rangkaian akan berkongsi petunjuk pelanggan, membangunkan projek bersama serta bertukar alat, sumber, dan kepakaran.

Ahli SAMA akan mendapat akses kepada platform pemasaran teknologi (MarTech) milik Mission serta bahan pembentangan antarabangsa, manakala agensi Mission Hubs akan memanfaatkan kepakaran tempatan ahli SAMA di rantau Asia Tenggara.

Presiden Serantau SAMA, Chan Leong Teng berkata, kerjasama ini memberi peluang kepada agensi bebas untuk berkembang setanding rangkaian global.

"Agensi bebas selama ini dikenali dengan kreativiti dan fleksibiliti. Kini, dengan infrastruktur bersama, kami boleh beroperasi secara lebih besar merentasi pasaran dan budaya," katanya.

Aktiviti pertama dijadual berlangsung Mei ini melalui persidangan maya melibatkan pemimpin agensi dari kedua-dua rangkaian bagi memperkenalkan pelan hala tuju dan peluang pembentangan bersama.

Lebih 50 peluang rujukan silang dijangka pada tahun pertama, selain pelaksanaan webinar, kertas putih, dan sesi pembelajaran bersama.

Kerjasama itu dijangka menjadi model baharu bagi agensi bebas untuk bersaing dan berkembang di peringkat global.- DagangNews.com

standard