Alpha IVF jalin kerjasama strategik dengan PT Delemont, tubuh pusat rawatan kesuburan di Bali

LocalHealth & Fitness
20 May 2025 • 5:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alpha IVF jalin kerjasama strategik dengan PT Delemont, tubuh pusat rawatan kesuburan di Bali

image is not available

20/05/2025 - 17:33

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Alpha IVF Group Bhd meterai perjanjian strategik dengan PT Delemont Global Venture dari Indonesia bagi menubuhkan pusat pakar kesuburan dan penjagaan wanita di Bali.

Alpha IVF Systems memegang 75% kepentingan saham dalam PT Alpha IVF Dan SPOG Bali, manakala selebihnya dimiliki PT Delemont.

Sebelum ini, kumpulan membuka klinik satelit pertama di Jakarta Utara yang menyumbang RM57.4 juta atau 42.38% daripada hasil operasi di Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (FY24).

Pusat itu dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2026 dan terletak dalam Zon Ekonomi Khas (SEZ) Penjagaan Kesihatan Bali di Sanur, yang menawarkan insentif cukai dan kemudahan pelancongan serta penjagaan kesihatan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, langkah itu akan memperkukuh kedudukan kumpulan di Indonesia dan membolehkan lebih ramai pesakit tempatan serta antarabangsa mendapatkan rawatan kesuburan bertaraf dunia.

"Zon khas ini membolehkan kami membawa teknologi rawatan kesuburan terbaik ke Indonesia dan memberi akses lebih pantas kepada pasangan yang memerlukan.

"Kami yakin Bali berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan perubatan," katanya dalam satu kenyataan.

Alpha IVF turut dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan IVF di Sanur selepas melalui proses penilaian kompetitif melibatkan penyedia dari Australia, Korea Selatan, Indonesia, dan Thailand.

Menurut Colin, pemilihan itu mencerminkan kepercayaan terhadap kadar kejayaan rawatan dan kepakaran teknikal kumpulan.

Sebelum ini, kumpulan membuka klinik satelit pertama di Jakarta Utara yang menyumbang kepada peningkatan ketara hasil pesakit dari Indonesia, iaitu RM57.4 juta atau 42.38% daripada hasil operasi di Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (FY24).

Langkah itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperluas capaian rawatan kesuburan di rantau ASEAN terutama di kawasan permintaan tinggi tetapi kurang mendapat perkhidmatan.- DagangNews.com

standard