
UniKL Jalin Lima Kerjasama Strategik Industri Aeroangkasa Di LIMA 2025
Langkawi, 20 Mei 2025 – Saya amat berbesar hati menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan lima rakan industri strategik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025), yang berlangsung di Pavilion Gading Group, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.
Kerjasama ini melibatkan Galaxy Aerospace, Aerostar Technologies, Global Turbine Asia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan Pen Aviation — masing-masing dengan fokus tersendiri dalam memperkukuh pendidikan, latihan, dan penyelidikan dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa negara.
Usaha ini merupakan langkah penting memperkukuh sinergi antara sektor akademik dan industri, selaras dengan agenda negara untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
Antara kerjasama yang dimeterai:
- Galaxy Aerospace – Menyediakan latihan asas penyelenggaraan pesawat serta latihan jenis pesawat (type-rating) di bawah kelulusan UniKL MIAT sebagai Approved Training Organisation (ATO), khususnya dalam penyelenggaraan pesawat helikopter dan pesawat ringan.
- Aerostar Technologies – Membangunkan program latihan penyelenggaraan komponen avionik menerusi penubuhan Centre of Excellence bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran teknikal dalam bidang tersebut.
- Global Turbine Asia – Memperkukuh keupayaan teknikal warga UniKL MIAT dalam reka bentuk, pengubahsuaian, dan kelulusan kelayakan udara melalui penubuhan Design Organization Approval (DOA).
- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) – Memfokus kepada pembangunan program latihan, bengkel dan seminar yang meningkatkan kemahiran teknikal serta kecekapan pengurusan penerbangan, dengan penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat dan penambahbaikan piawaian operasi.
- Pen Aviation – Mengintegrasikan kepakaran penyelidikan UniKL MIAT dengan teknologi dan platform pesawat tanpa pemandu (UAV) milik Pen Aviation bagi menyokong inovasi serta pembangunan bidang UAV yang kian pesat.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkayakan kurikulum dan latihan teknikal UniKL MIAT, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri aeroangkasa serantau.
Dengan sokongan serta penyertaan aktif institusi pendidikan tinggi seperti UniKL MIAT dalam platform bertaraf antarabangsa seperti LIMA 2025, saya yakin kita mampu mencorakkan masa depan pendidikan teknikal negara yang lebih dinamik, inklusif, dan sejajar dengan kehendak industri global.
The post UniKL Jalin Lima Kerjasama Strategik Industri Aeroangkasa Di LIMA 2025 appeared first on Siakap Keli.




