Doakan kesembuhan PMX, kembali berkhidmat kepada rakyat, negara – Ahmad Zahid

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 3:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Doakan kesembuhan PMX, kembali berkhidmat kepada rakyat, negara – Ahmad Zahid

GERIK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet akan datang, sebagai menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani pemeriksaan dan prosedur perubatan.

Ahmad Zahid berkata, pada Selasa lepas, beliau dimaklumkan sendiri oleh Anwar tentang rawatan pembedahan kecil yang akan dijalani oleh pemimpin nombor satu negara tersebut.

“Beliau telah memberitahu saya bahawa sepanjang ketiadaan beliau itu, beliau meminta saya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Orang Asli Air Banun dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Awal hari ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri dijangka akan berada di bawah pemantauan pakar perubatan selama dua hari.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri memerlukan masa rehat yang secukupnya tetapi yakin tidak mengambil masa lebih seminggu.

“Kita sama-sama doakan akan kesembuhan dan keselesaan kepada beliau untuk kembali bertugas kepada rakyat dan negara,” katanya.

Semasa pelancaran NSPSDHOA itu juga, Ahmad Zahid mahu fokus perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli diberikan penekanan tinggi seperti mana rakyat yang lain.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional akan memastikan klinik dan pusat kesihatan terutama di kawasan berdekatan masyarakat Orang Asli sentiasa dipertingkatkan.

Dzulkefly yang turut berucap dalam majlis pelancaran itu berkata, Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) pada 2022 menunjukkan realiti yang amat pahit untuk ditelan.

Katanya, didapati dua daripada lima anak-anak Orang Asli berdepan masalah bantut.

Tambahnya, dari segi penyakit kronik, tujuh hingga lapan daripada 10 pesakit Orang Asli langsung tidak sedar bahawa mereka menghidap kencing manis dan kolesterol selain satu daripada lima keluarga Orang Asli masih terbelenggu dengan masalah ketidakjaminan makanan. – UTUSAN

The post Doakan kesembuhan PMX, kembali berkhidmat kepada rakyat, negara – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved