
GERIK – UMNO akan mempertimbangkan jemputan yang dikemukakan oleh Pas untuk hadir ke Muktamar parti itu pada 2 hingga 5 September ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan melihat jadual terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya menghantar wakil parti.
“Saya harap saya berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghantar wakil sekurang-kurangnya bagi menghadiri Muktamar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2026–2035 di Kampung Orang Asli Air Banun dekat sini hari ini.
Semalam dilaporkan bahawa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jemputan itu dibuat susulan UMNO dilihat sebagai rakan kerjasama politik parti berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, dirinya pernah menghadiri Muktamar tahunan Pas di Terengganu beberapa tahun dahulu, namun belum melihat lagi jemputan untuk beliau sendiri pada kali ini.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung, Ahmad Zahid memberikan kuasa kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk melakukan perbincangan dengan mana-mana gabungan parti politik.
“Ini supaya kita dapat capai satu titik pertemuan yang baik agar negeri ditadbir dengan baik demi kepentingan rakyat.
“Perbincangan yang selalunya rumit adalah soal pembahagian kerusi. Bincang baik-baik. Tiada permasalahan yang tidak boleh dirungkaikan,” katanya.
Jelasnya, keputusan perbincangan kemudian akan disampaikan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dimuktamadkan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, PKR menyambut baik kenyataan Ahmad Zahid serta Ab Rauf Yusoh berhubung kesediaan mengadakan perbincangan awal dengan semua parti. – KOSMO! ONLINE
The post Saya harap berlapang dada, berfikiran terbuka penuhi jemputan Pas – Presiden UMNO appeared first on Kosmo Digital.






