
MENGHADAPI fasa pasca perceraian yang panjang, penyanyi popular, Adira Suhaimi, 35, memilih untuk menyerahkan segala ketentuan hidupnya kepada takdir dan percaya perancangan ALLAH adalah yang terbaik.
Hadir ke prosiding pengesahan rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Adira yang ditemui portal berita tempatan mengakui mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk menyelesaikan prosiding mahkamah yang difailkan oleh bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red, terlebih dahulu sebelum memikirkan soal masa depan.
Meskipun kes mahkamah tersebut sudah berlanjutan kira-kira enam bulan, ibu kepada empat cahaya mata ini kekal tenang mendepani ujian.
"Siapa yang tak penat turun naik mahkamah? Tapi saya anggap ini memang prosesnya. Doakan semuanya dipermudahkan," katanya penuh optimis.
Apabila ditanya mengenai perancangan untuk membina hidup baharu, pelantun lagu Sayang Orang Sama itu mengakui perkara tersebut bukanlah keutamaannya ketika ini.

"Macam mana saya hendak kahwin? Kes saya ini pun tak selesai lagi. Dia (Datuk Red) senang sudah kahwin, kita hendak kahwin susah.
"Saya perlu selesaikan semua ini (prosiding mahkamah) dahulu," tambahnya yang menyifatkan fokusnya kini adalah untuk menyelesaikan isu perundangan tersebut terlebih dahulu.
Ibu kepada juara Talk To My Manager Musim Kedua, Anggrek Adnan itu berkongsi bahawa keempat-empat cahaya mata kini kekal di bawah jagaannya sepenuhnya.
Malah, ujar Adira hubungannya dengan bekas suami berhubung urusan anak-anak berjalan dengan baik tanpa sebarang konflik.
"Insya-ALLAH. Setakat ini belum ada permintaan seperti itu (membawa anak bermalam sejak berkahwin baharu).
"Kalau ada, semuanya perlu dibincangkan terlebih dahulu," jelasnya.

Ditanya sama ada anak-anaknya sudah bersua dengan isteri baharu bekas suaminya, Adira memberitahu ia belum berlaku namun dia bersikap terbuka demi kebaikan bersama.
"Belum bertemu, namun, saya sama sekali tidak menghalang," ujarnya.
Mahkamah menangguhkan perbicaraan pengesahan lafaz rujuk antara Adnan (plaintif) dan Adira (defendan) ke 3 September depan bagi mendengar keterangan lanjut daripada Adira.
Hakim Syarie, ‘Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani memberikan tarikh berkenaan bagi mendengar sambungan keterangan lanjut daripada Adira selaku defendan.
Sementara itu, Peguam syarie mewakili Datuk Red, Muhammad Akmal Amzan berkata, anak guamnya tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen kerja.
"Datuk Red tidak dapat hadir sebab saya dimaklumkan pagi tadi bahawa beliau ada urusan, tetapi bukan pergi honeymoon seperti yang dinyatakan.
"Dia ada di sini cuma tidak dapat datang pada pagi ini dan tarikh akan datang akan hadir," katanya.
Terdahulu, mahkamah menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung pada 23 April kepada 25 Jun lalu.
Mahkamah bagaimanapun menolak pemohonan penarikan balik kes pengesahan rujuk yang difailkan Datuk Red.
Usahawan berkenaan melalui permohonan yang difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh idah selepas perceraian, namun Adira tidak mengesahkan perkara tersebut.
Sekadar info, Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 9, Asan, 7, Anggun, 6, dan Ayob, 4.
Datuk Red kemudian bernikah dengan wanita pilihan hati dikenali sebagai Rohanita, 35, Jumaat lalu.
Sumber: Instagram, Berita Harian





