Beberapa hari yang lalu kami laporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) akan mengarahkan Google menjual Chrome, mengharamkan perjanjian menggunakan Search secara eksklusif dan menghalang Android daripada wajib menyertakan perkhidmatan Google. Hari ini secara rasmi, DOJ memberikan arahan ini kepada Google menerusi dokumen yang difailkan semalam menurut laporan AP.

Google didapati bersalah mengamalkan perniagaan secara monopoli khususnya dalam carian dan pengiklanan atas talian. Ketika ini Search memegang 90% pasaran enjin carian dan lebih 66% pasaran pelayar web. Ini memberikan Google kelebihan untuk mengiklankan perkhidmatan mereka sendiri sehingga menyukarkan persaingan oleh syarikat lain.
DOJ turut akan meminta Google berkongsi keputusan carian Search dengan pesaing. Arahan terkini ini akan membuatkan Google tidak lagi boleh membayar Apple untuk menggunakan Search sebagai enjin carian lalai pada peranti keluaran mereka.
Google belum memberikan komen mengenai arahan DOJ tetapi sebelum ini mereka mengatakan akan melakukan rayuan selepas didapati bersalah melakukan perniagaan secara monopoli.

