Pandang Pertama Apple Intelligence – Percubaan Awal Kurang Keunikan

TechnologyDigital
29 Oct 2024 • 3:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Hari ini kemas kini Apple Intelligence telah diberikan kepada pengguna produk Apple yang dilengkapi cip A17 Pro, A18, A18 Pro dan Apple M. Apple Intelligence adalah ciri kecerdasan Apple yang bersaing secara terus dengan Google Gemini dan Galaxy AI. Dalam artikel ini akan saya akan cuba menerangkan apakah yang menarik serta apakah yang kurang menarik pada Apple Intelligence.

image is not available

Writing Tools – Bantuan Penulisan

Sama seperti Samsung Galaxy AI, Apple juga ingin memanfaatkan ciri AI generatif untuk membantu pengguna menulis dengan lebih baik. Writing Tools adalah alat bantuan menulis yang diintegrasikan ke dalam sistem secara menyeluruh. Ia menyokong bukan sahaja aplikasi Apple sendiri tetapi juga aplikasi pihak ketiga.

image is not available

Tidak seperti Galaxy AI yang mempunyai butang terpampang jelas pada Samsung Keyboard, ciri Writing Tools adalah tersembunyi. Untuk menggunakannya, teks yang ditaip perlu dipilih sebelum menu untuk Writing Tools akand disenaraikan bersama dengan menu Cut, Copy dan Paste.

Pengguna diberikan pilihan untuk Proofread bagi mencari kesalahan ejaan, Rewrite bagi mengolah semula penulisan serta tiga pilihan mengubah tona penulisan asal menggunakan nada Friendly, Professional, dan Concise. Ini adalah lebih kecil berbanding pilihan Professional, Casual, Social, Polite dan Emojify yang ditawarkan oleh Galaxy AI.

image is not available

Satu persamaan ialah kedua-duanya tidak akan memproses penulisan yang mengandungi kata-kata kesat. Secara automatik Writing Tools akan memberikan notifikasi ia tidak akan memproses. Sistem tapisan kata-kata kesat yang digunakan adalah sangat tegas. Perkataan stupid, idiot dan retarded sudah mencukupi untuk membuatkan Writing Tools dihalang apatah lagi frasa-frasa cacian yang lebih menghina.

image is not available

Terdapat juga pilihan Summary, Key Points, List atau Table. Ini adalah ciri berguna apabila anda hanya ingin memproses sebahagian perenggan dalam emel, dokumen atau laman web yang dibaca. Table dan List pula akan mengolah semula teks panjang untuk disusun semula dalam bentuk jadual dan senarai. Ciri ini hanya disokong di ruangan teks yang boleh tampal data jadual seperti Notes, Words, dan lain-lain.

Dalam cubaan saya, penulisan semula yang dilakukan adalah sangat baik dan pantas. Ia boleh menukar tona penulisan ke tona dan format berbeza. Cara penggunaannya juga adalah mudah difahami tetapi mengapakah ia disorokkan daripada pengguna. Adakah kerana Apple tidak mahu ia digunakan dengan kerap oleh pemilik peranti?

Yang boleh saya katakan ialah kualiti penulisan Writing Tools adalah sederhana sahaja dengan hasil penukaran tona misalnya tidak menghasilkan karya yang terlalu bombastik. Ini membuatkan penulisan semula lebih mirip seperti ditulis oleh seorang manusia. Tona Profesional pada Galaxy AI suka menggunakan perkataan-perkataan yang diambil daripada tesaurus dan menghasilkan penulis yang panjang sehingga apabila dibaca adalah sedikit meleret-leret.

Siri – Pantas Tetapi Belum Cukup Cerdas

Siri masih belum cukup cerdas selepas kemas kini iOS 18.1 kerana integrasi ChatGPT masih di peringkat ujian dan pembangunan. Walau bagaimanapun, Siri sudah semakin pantas mendengar arahan. Ia kini memahami konteks pengguna dengan lebih mendalam.

image is not available

Misalnya, pengguna boleh memberi arahan tanpa perlu seru Siri berkali-kali seperti “Hey Siri, Play Butter by BTS on Spotify and volume at 100%”. Siri akan menuntut perintah yang diberikan menurut turutan. Membuka aplikasi, menukar tetapan peranti dan mengubah tetapan sistem semuanya juga boleh dilakukan.

Perkara pertama yang disedari ialah kepantasan Siri melakukan tugasan. Tidak lagi perlu menanti 2-3 saat sebelum arahan diterima dan tugasan dilalukan. Tahap responsif Siri kini sama dengan Google Assistant. Cuma yang saya kurang gemar ialah jika ia tidak boleh melakukan arahan yang diberikan, Siri terus melakukan carian web yang biasanya bukanlah jawapan yang dikehendaki.

Photos – Semakin Mirip Google Photos

Selepas bertahun lamanya, akhirnya aplikasi album Photos kini menjadi lebih pintar. Gambar dalam Photos kini disusun dengan lebih teratur seperti semua gambar dimasukkan ke dalam kategori tertentu seperti perayaan, hari jadi dan ketika bercuti.

image is not available

Photos turut kini menyokong ciri carian dengan konteks pengguna yang lebih spesifik. Seperti Fahim eating, Cats sleeping atau lebih mendalam dengan konteks people eating around Indonesia dan lain-lain ia akan mencari gambar paling sesuai.

image is not available

Ciri mencipta Memories adalah yang paling saya suka kerana animasi yang kelihatan futuristik. Hanya masukkan prom ringkas, Apple Intelligence akan kumpulkan gambar dan video dari dalam telefon dan juga iCloud untuk diproses menjadi video kenangan berserta muzik dari Apple Music.

image is not available

Apple turut menyertakan ciri suntingan gambar yang diberi nama Clean up. Ia mempunyai animasi yang menarik tetapi penggunaannya masih terhad dan cara ia memproses juga masih tidak cukup bijak berbanding Google Photos, AndesGPT dan Galaxy AI.

Emel – Memastikan Yang Penting Tak Terlepas

Sementara menantikan ciri Priority Notification, anda sudah boleh dapatkan emel penting dan kekal fokus dalam aplikasi Mail dengan lebih mudah. Semua emel kini dirumuskan secara automatik, jadi sebelum anda membukanya anda sudah tahu apakah kandungan utamanya.

image is not available

Kemudian emel-emel penting yang perlu dibalas dengan pantas seperti jemputan ke majlis pelancaran peranti akan disematkan ke bahagian atas secara automatik. Akhir sekali di dalam emel, jika perbincangan atau perbualan telah menjadi panjang berjela – ciri Summarize akan merumuskan semuanya dalam teks yang lebih ringkas. Kemudian membalas juga kini boleh dibantu dengan AI kerana ia ciri Writing Tools yang telah saya nyatakan di atas tadi boleh digunakan dalam aplikasi emel.

image is not available

Sekiranya anda menerima emel, mesej WhatsAp, notifikasi Instagram dan iMessag dalam jumlah yang banyak, Apple Intelligence akan meringkaskan kesemuanya ke dalam satu notifiksi yang diringkaskan.

Audio Ke Nota

Dua aplikasi di dalam peranti Apple iaitu Telephone dan Voice Memos kini menyokong ciri ia diringkaskan dengan bantuan AI. Panggilan telefon kini boleh dirakam untuk ia diproses menjadi transkrip teks sebelum dirumuskan oleh Apple Intelligence untuk rujukan di masa akan datang.

image is not available

Begitu juga dengan aplikasi Voice Memos yang boleh menjana teks menerusi rakaman yang telah dilakukan. Cuma, ia terhad kepada bahasa Inggeris dan saya suka yang ia memberi pengalaman penggunaan mirip pada peranti Samsung dan Pixel. Cuma dalam cubaan saya, ciri merumuskan audio panggilan telefon masih tidak konsisten.

Ciri yang dijangka tiba Disember ini

Masih banyak lagi ciri Apple Intelligence yang belum diberikan kepada pengguna. Antaranya adalah integrasi ChatGPT, Visual Intelligence sebagai pesaing kepada Circle to Search, menjana emoji dengan Genmoji dan menjana imej dengan Image Playground/Image Wand. Ciri ini telah pun diberikan kepada pembangun dalam iOS 18.2 versi beta pembangun pertama. Ia dijangka akan tiba kepada pengguna bermula bulan Disember ini.

image is not available

Akan datang pada tahun hadapan pula ialah sokongan lebih banyak bahasa dan tidak lagi terhad kepada Inggeris sahaja. Ini mungkin adalah keputusan Apple yang paling mengecewakan. Sebuah syarikat global, sokongan bahasa Inggeris sahaja sukar dimaafkan. Galaxy AI menyokong 13 bahasa ketika dilancarkan Januari lalu dengan ia akan meningkat ke 20 menjelang penghujung tahun ini.

Kemudian kami turut pernah melaporkan Apple mungkin akan mempertimbangkan ciri berbayar untuk menggunakan teknologi AI mereka. Sama seperti Samsung, ciri AI yang menelan belanja tinggi untuk dibangunkan tidak akan diberikan percuma selama-lamanya.

image is not available

Kesimpulan

Ciri-ciri Apple Intelligence yang diberikan iOS 18.1 adalah menarik dan berguna cuma masih di belakang apa yang ditawarkan oleh pesaing mereka seperti Google dan Samsung. Jika Apple Intelligence boleh mengubah persepsi pengguna terhadap AI, lebih ramai akan menerima penggunaan AI yang selamat. Untuk peringkat awal, apa yang Apple Intelligence boleh lakukan di bawah kemampuan Google Gemini dan Samsung Galaxy AI. Oleh itu saya rasakan membeli iPhone 15 Pro atau siri iPhone 16 semata-mata untuk AI masih belum berbaloi pada saat ini.

image is not available

Alternatif sementara adalah menggunakan aplikasi chatbot AI sedia ada yang disokong pada iPhone. Aplikasi Google untuk mencuba Gemini, satu aplikasi boleh jana imej dan membantu menulis atau merumuskan teks. Copilot dan ChatGPT pula menyokong perbualan yang lebih imersif. Cuma tiada yang menawarkan kaedah penggunaan terbina secara terus di tahap sistem seperti Apple Intelligence.

Di platform Android, pengeluar kini diberikan pilihan menggunakan model AI Llama, Gemini, AndesGPT, Gauss, Mistral dan banyak lagi. Kelebihan jelas di tangan Android kerana pilihan model yang lebih pelbagai dengan ia boleh dijalankan terus dari peranti.

Apple tidak boleh terus mengekor dari belakang pesaing. Usaha AI sulung mereka boleh saya katakan tidak mempunyai “faktor wow” yang membezakannya dengan pesaing. Jika Apple serius dengan usaha Apple Intelligence, ciri-ciri yang lebih berkuasa, berguna dan unik berbanding pesaing harus diberikan dengan segera.