Doktor & Anak Cedera Parah Gara-gara Dirempuh Remaja 18 Tahun Pandu SUV

Entertainment
24 Oct 2024 • 12:58 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, tular di aplikasi X video sebuah kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah Hyundai Inokom Santa Fe.

Dalam laporan Kosmo!, difahamkan kemalangan itu berlaku di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, Taman Seri Impian, Kulang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 4.10 petang semalam itu melibatkan seorang warganegara Indonesia, Dr. Agung Nugroho Darmawan, 40, serta anak lelakinya, Said Hassan, 4, dan remaja lelaki, Chung Henry, 18, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) milik bapanya.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika remaja lelaki itu dalam perjalanan dari bandar Kluang menuju ke rumahnya di dalam Taman Sri Impian.

“Ketika sampai di Bulatan di Jalan Persiaran Taman Sri Impian, kereta Perodua Bezza dipandu warga Indonesia yang juga Pegawai Perubatan Hospital di KPJ Kluang dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri bulatan berkenaan.

Akibat kejadian itu, remaja lelaki berkenaan gagal mengelak dan memberhentikan kenderaan dipandunya sebelum merempuh bahagian kanan tempat pemandu,” katanya.

Apa yang menyedihkan, kemalangan itu menyebabkan pemandu warganegara Indonesia itu mengalami patah tulang rusuk, kecederaan parah di kepala dan bahagian dalaman badan, kini menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Anak lelakinya pula mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, remaja lelaki berkenaan bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Sumber: Kosmo, X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.