
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran menahan reman tiga individu termasuk seorang bekas pengurus syarikat produk sejuk beku kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu, berjumlah RM51,000.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an dan 30-an ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
Perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 30 Julai ini dikenakan kepada suspek lelaki manakala reman selama tiga hari sehingga 29 Julai ini kepada dua suspek wanita.
Ia dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd. Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Mei dan Jun 2023.
“Semua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pembekalan makanan pakej perkahwinan yang melibatkan tiga transaksi pembayaran melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank syarikat serta dua akaun bank peribadi milik suspek-suspek terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN
The post Dokumen palsu: SPRM tahan reman tiga individu termasuk bekas pengurus syarikat appeared first on Utusan Malaysia.






