Doppa gesa bantuan kewangan, reformasi dasar NCR untuk pekebun kecil sawit Dayak di Sarawak

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 3:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Doppa gesa bantuan kewangan, reformasi dasar NCR untuk pekebun kecil sawit Dayak di Sarawak Image from: Doppa gesa bantuan kewangan, reformasi dasar NCR untuk pekebun kecil sawit Dayak di Sarawak hamden29/09/2026 - 15:40

KUALA LUMPUR 29 Sept - Persatuan Pengusaha Kelapa Sawit Dayak Sarawak (Doppa) menggesa kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan menyediakan bantuan kewangan segera serta melakukan pembaharuan terhadap dasar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi belanjawan masing-masing yang akan datang.

 

Presiden Doppa, Dr Napolean R Ningkos berkata, pekebun kecil memainkan peranan penting dalam memacu kemakmuran luar bandar selain menyumbang secara signifikan kepada hasil negeri.

 

“Berdasarkan sumbangan besar ini, kerajaan negeri digesa mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan tambahan kepada industri ini, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

 

Doppa turut menggesa kerajaan Sarawak menubuhkan badan berkanun khusus bagi mengawal selia dan menyelia sektor minyak sawit.

 

“Sebagai penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan negeri selepas industri petroleum, penubuhan badan kawal selia bagi industri minyak sawit adalah wajar,” kata Napolean lapor Borneo Post.

 

doppa
Dr Napolean R Ningkos

 

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan penaiktarafan jalan akses luar bandar serta menyediakan sokongan awal kepada pemilik tanah adat yang ingin menceburi penanaman kelapa sawit.

 

Menurutnya, peningkatan jalan ladang secara berkumpulan dan bantuan anak benih juga boleh menggalakkan penanaman baharu.

 

Hak milik tanah NCR

Mengenai halangan pentadbiran yang dihadapi pekebun di tanah NCR yang belum mempunyai hak milik, Doppa menggesa kerajaan negeri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi menyelaraskan proses bantuan penanaman semula.

 

“Doppa menggesa kerajaan negeri dan kementerian membangunkan skim penanaman semula yang lebih fleksibel. Proses permohonan semasa adalah panjang dan tidak membantu pekebun kecil di tanah NCR,” katanya.

 

Doppa turut mencadangkan supaya geran padanan 50% bersama Agrobank sebanyak RM18,000 sehektar dikaji semula.

 

Ia mencadangkan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9,000 sehektar dipertimbangkan bagi pekebun kecil yang telah menjalankan penanaman semula atas inisiatif sendiri di tanah NCR.

 

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Doppa turut mencadangkan insentif geran untuk menggalakkan mekanisasi ladang, khususnya dalam operasi penuaian buah.

 

Persatuan itu berkata, bantuan tunai bersasar dan subsidi diesel yang diperluaskan juga boleh diperkenalkan bagi membantu pekebun kecil menghadapi kenaikan kos input dan bahan api.

 

“Doppa mencadangkan mekanisme subsidi bersasar sebanyak RM1,000 sehektar bagi membantu pekebun kecil persendirian, sehingga maksimum 10 hektar,” kata Napolean.

 

Subsidi diesel ditingkatkan kepada 600 liter

Beliau berkata, subsidi diesel bersasar juga diperlukan dan mencadangkan peningkatan subsidi daripada 400 kepada 600 liter bagi setiap pekebun kecil yang memiliki kawasan antara 20 hingga 40 hektar.

 

Sementara itu, menyentuh keperluan dokumentasi tanah yang semakin ketat di peringkat antarabangsa, beliau menggesa peruntukan khas disediakan bagi mempercepatkan proses pengesahan tanah NCR yang ditanam dengan kelapa sawit.

 

“Ini penting bagi memastikan pekebun kecil tidak tersisih daripada rantaian bekalan minyak sawit global,” katanya.

 

Menurutnya, langkah-langkah yang dicadangkan itu akan memperkasakan pekebun kecil, meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan pedalaman serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pengeluar utama minyak sawit mampan.

 

Doppa mewakili kira-kira 57,000 pekebun kecil persendirian Dayak yang mengusahakan sekitar 292,000 hektar di seluruh Sarawak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved