DPMM singkir TFC melangkah ke suku akhir Piala FA

16 Sep 2026 • 10:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DPMM singkir TFC melangkah ke suku akhir Piala FA

KUALA NERUS:  DPMM FC mempamerkan aksi kebangkitan apabila menyingkirkan Terengganu FC (TFC) daripada saingan Piala FA selepas merekodkan kemenangan 3-1 dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam ini.

Kemenangan di laman lawan itu menyaksikan DPMM melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik dengan agregat 5-4, walaupun ketinggalan 2-3  pada aksi pertama pusingan itu di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah.

Penguasaan pada babak awal permainan memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah sehingga Shahrul Nizam Ros Hasni hampir menjaringkan gol sendiri ketika mahu mengeluarkan bola, sekali gus menyaksikan DPMM memperoleh sepakan penjuru.

Berpunca daripada sepakan berkenaan, penyerang DPMM, Danial Asri menyambar peluang dengan menanduk masuk bola ke dalam gawang TFC pada minit ke-8 untuk mengikat agregat 3-3. Ia adalah jaringan pertama miliknya untuk pasukan DPMM.

Tersentak dengan jaringan itu, TFC mengatur beberapa gerakan dan Romel Morales hampir menceriakan penyokong tuan rumah namun tandukannya pada minit ke-25 tersasar ke bahagian kiri gawang lawan.

Jaringan dicari-cari TFC muncul di hujung babak pertama menerusi Manuel Ott yang melencongkan bola ke dalam gawang DPMM, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah mendahului 4-3 secara agregat.

Namun, DPMM kembali menyamakan kedudukan secara agregat  4-4 menerusi penyudah kemas penyerang importnya,  Miguel Oliveira pada minit ke-54.

Jaringan kemenangan DPMM hadir 10 minit selepas itu menerusi Jordan Murray yang memanfaatkan keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol tuan rumah sebelum tenang menolak masuk bola ke dalam gawang.

Gerakan diatur TFC selepas itu menemukan jalan buntu sekali gus terkulai di gelanggang sendiri dan hanya mampu menyaksikan DPMM melangkah ke peringkat suku akhir bertemu KL City dalam saingan piala berprestij itu. – UTUSAN

The post DPMM singkir TFC melangkah ke suku akhir Piala FA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved