
KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) menerima kejutan tersingkir daripada saingan Piala FA selepas diaibkan DPMM FC dengan agregat 4-5 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.
Skuad Sang Penyu terpaksa akur selepas tewas 1-3 dalam aksi timbal balik, biarpun membawa bekalan 3-2 dalam aksi pertama di Brunei, minggu lalu.
Dengan kemenangan itu, anak buah Jamie McAllister bakal melayan kunjungan KL City FC pada aksi suku akhir pertama, 20 September ini.
Skuad pelawat mencetuskan kejutan seawal minit ketujuh apabila tandukan Danial Asri menerjah gawang TFC bagi menyamakan agregat 3-3.
Bagaimanapun, Manuel Ott hadir untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi rembatan dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol DPMM FC, Sam Somerville.
Bersambung babak kedua, pelawat menggandakan asakan dan berjaya meledak dua gol menerusi Miguel Oliveira dan Jordan Murray.
Oliveira kembali meletakkan DPMM FC di depan menerusi hantaran bijak Murray yang mudah mengelirukan pertahanan tuan rumah pada minit ke-54, sekali gus menyamakan kedudukan agregat 4-4.
Sepuluh minit berselang, Murray muncul wira sekali lagi mengejutkan TFC selepas memanfaatkan kekalutan di depan pintu gol sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol tuan rumah. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: TFC aib disingkir DPMM appeared first on Kosmo Online.






