
BERGELAR pakar dalam bidang perubatan jantung bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut latihan bertahun-tahun, ketahanan mental dan emosi serta dedikasi yang tinggi.
Cabaran ini turut menyumbang kepada bilangan pakar dalam bidang berkenaan yang masih terhad di Malaysia, khususnya dalam kalangan wanita.
Baru-baru ini sejarah tercipta apabila Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Suraya Hani Kamsani, 43, menjadi wanita pertama Malaysia memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang elektrofisiologi jantung yang diterimanya dari University of Adelaide, Australia.
Dr. Suraya memiliki latar belakang akademik dan pengalaman klinikal yang luas, khususnya dalam bidang elektrofisiologi jantung iaitu cabang kardiologi yang memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan gangguan irama jantung serta penggunaan peranti elektronik implan jantung.
Beliau berpengalaman luas dalam terapi peranti serta prosedur ablasi kateter bagi menangani aritmia, termasuk kes yang kompleks. Fokus klinikal dan penyelidikannya tertumpu kepada fibrilasi atrium serta kemajuan teknologi ablasi terkini, khususnya ablasi medan elektrik berdenyut (pulsed field ablation, PFA).
Menurut Dr. Suraya, beliau tidak menyangka mampu melangkah sejauh ini kerana pada awalnya hanya berhasrat untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana di universiti berkenaan. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman klinikal dan penglibatannya dalam penyelidikan, beliau ditawarkan peluang untuk menaik taraf pengajian ke peringkat PhD.
“Ketika penyelia mencadangkan saya untuk menaik taraf pengajian ke PhD, saya agak bimbang tidak mampu memenuhi tuntutan pengajian yang lebih tinggi.
“Tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya menamatkannya dengan sokongan keluarga, mentor dan rakan-rakan walaupun terpaksa membahagikan masa antara tuntutan kerja dan penyelidikan.
“Tempoh pengajian saya dilanjutkan selama dua tahun, menjadikan keseluruhan tempoh pengajian selama empat tahun untuk menamatkan PhD ini,” katanya yang telah menghasilkan pelbagai penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi serta kerap membentangkan hasil penyelidikannya di persidangan antarabangsa.
Tambah Dr. Suraya, untuk bergelar pakar dalam bidang kardiologi perlu melalui latihan yang sangat mencabar, intensif dan memerlukan komitmen yang tinggi.
“Bidang ini menuntut tempoh latihan yang panjang dan komitmen yang besar. Bilangan pakar kardiologi wanita, khususnya dalam subkepakaran elektrofisiologi juga masih kecil.
“Oleh itu, saya berharap penglibatan lebih ramai wanita dalam bidang ini dapat membawa kepelbagaian perspektif dan menjadi inspirasi kepada generasi doktor wanita yang akan datang,” ujarnya yang telah berkhidmat dalam bidang kardiologi di IJN selama 10 tahun.

Terang Dr. Suraya, bidang perubatan dan rawatan penyakit jantung terbahagi kepada dua cabang utama iaitu kardiologi yang menumpukan kepada rawatan bukan pembedahan dan pembedahan kardiotorasik. Kedua-dua bidang ini merangkumi pelbagai subkepakaran yang lebih khusus.
“Antaranya, elektrofisiologi jantung, kardiologi intervensi, kegagalan jantung dan transplantasi serta pengimejan kardiovaskular.
“Bidang kepakaran saya ialah elektrofisiologi jantung yang memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan gangguan sistem elektrik jantung yang menyebabkan irama jantung menjadi terlalu laju, terlalu perlahan atau tidak teratur.
“Pakar elektrofisiologi akan melakukan rawatan seperti ablasi kateter serta implantasi peranti jantung termasuk alat perentak jantung (pacemaker) dan defibrilator kardioverter implan (ICD),” kongsinya yang berasal dari Johor Bahru.
Menjelaskan rutin hariannya sebagai pakar elektrofisiologi, Dr. Suraya berkata, tugas beliau merangkumi pemeriksaan pesakit di wad, konsultasi pesakit luar, penilaian dan diagnosis gangguan irama jantung serta pelaksanaan prosedur elektrofisiologi seperti ablasi kateter dan implantasi peranti jantung.
“Teknologi dalam rawatan jantung juga semakin berkembang pesat, sekali gus membolehkan kami menawarkan rawatan yang lebih berkesan dan kurang invasif kepada pesakit.
“Antaranya, teknologi PFA yang menggunakan medan elektrik berdenyut untuk merawat gangguan irama jantung, khususnya fibrilasi atrium. Selain itu, teknologi perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) membolehkan peranti bersaiz kecil diimplan terus ke dalam jantung melalui saluran darah, tanpa memerlukan wayar perentak konvensional.
“Penggunaan teknologi terkini ini berpotensi memendekkan tempoh prosedur, meningkatkan kecekapan rawatan dan mengurangkan risiko komplikasi tertentu. Kemajuan ini turut menunjukkan bahawa rawatan elektrofisiologi di Malaysia mampu berkembang seiring pusat-pusat terkemuka di peringkat antarabangsa,” tuturnya.

Dr. Suraya berkata, bidang elektrofisiologi memerlukan pemikiran analitikal dan pemahaman mendalam tentang mekanisme gangguan irama jantung. Sebelum sesuatu prosedur dilakukan, pakar perlu menilai keadaan pesakit, menganalisis rakaman elektrokardiogram (ECG) serta menentukan strategi rawatan yang paling sesuai.
“Bidang ini berkembang dengan sangat cepat. Jika dibandingkan dengan keadaan ketika saya mula berkhidmat di IJN 10 tahun lalu, teknologi dan pendekatan rawatan kini telah mengalami perubahan yang sangat ketara.
“Oleh itu, saya perlu sentiasa mengikuti perkembangan ilmu dan mempelajari teknologi baharu. Inilah yang menjadikan bidang elektrofisiologi begitu menarik kerana ia sentiasa berkembang dan tidak pernah statik,” ujarnya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ketika bertugas di beberapa hospital di Johor.
Mengulas mengenai minatnya menuntut ilmu tanpa jemu, Dr. Suraya berkata, beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat mementingkan pendidikan kerana kedua-dua ibu bapanya merupakan pesara guru.
“Sejak kecil saya sudah dididik untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu sentiasa memastikan saya membuat latihan tambahan dan menyiapkan kerja sekolah dengan tekun.
“Kalau pergi bercuti atau balik kampung, saya dan adik-beradik tetap kena bawa buku. Tiada istilah bercuti tanpa buku bagi kami.
“Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa kerana hasil didikan mereka, saya menjadi seorang yang cintakan ilmu dan sentiasa bersemangat untuk terus belajar, khususnya dalam bidang perubatan jantung,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Kongsinya, kerjaya sebagai pakar elektrofisiologi turut hadir dengan cabaran tersendiri. Setiap hari, Dr. Suraya berdepan pesakit yang mempunyai pelbagai tahap penyakit jantung, termasuk mereka yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan segera.
“Di samping itu, saya juga perlu sentiasa bersedia untuk mengendalikan kes kecemasan yang kadangkala memerlukan saya berada di hospital di luar waktu kerja.
“Tetapi semua cabaran ini tidak mematahkan semangat saya, malah menguatkan lagi keinginan untuk membantu lebih ramai pesakit.
“Kadang-kadang lonjakan adrenalin ketika mengendalikan kes kecemasan memberikan cabaran dan kepuasan tersendiri. Namun, kepuasan paling bermakna adalah apabila melihat pesakit kembali sihat dan dapat meneruskan kehidupan mereka,” ujarnya yang turut memiliki pensijilan profesional antarabangsa dalam bidang peranti elektronik implan jantung dari Amerika Syarikat.
Tambah Dr. Suraya, beliau juga sangat seronok bekerja sebagai pakar jantung di IJN kerana dikelilingi pasukan profesional yang berdedikasi dan saling bekerjasama dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.
“Kami bekerja sebagai satu pasukan dan saling menyokong antara satu sama lain. Hubungan yang terjalin bukan sekadar sebagai rakan sekerja, malah sudah seperti sebuah keluarga.”
Berkongsi perancangan pada masa hadapan, Dr. Suraya berkata, beliau mahu memperluas aktiviti penyelidikan klinikal, khususnya dalam bidang elektrofisiologi, bagi memperkukuh penghasilan bukti saintifik berasaskan populasi tempatan.
“Saya percaya kita perlu menghasilkan lebih banyak data dan penyelidikan tempatan supaya pendekatan rawatan yang digunakan bukan hanya bergantung pada kajian dari luar negara, tetapi turut mengambil kira ciri-ciri dan keperluan pesakit di Malaysia.
“Saya juga berhasrat untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat masyarakat. Hasrat ini sudah lama ada, tetapi masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana komitmen kerja,” katanya yang berpegang kepada prinsip hidup, melakukan yang terbaik, berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan seterusnya bertawakal kepada Allah SWT.
The post Dr. Suraya wanita pertama Malaysia raih PhD elektrofisiologi appeared first on Kosmo Online.






