Sebelum ini Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah bertindak menolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang telah menimbulkan kontroversi di media sosial. Malah drama itu turut didakwa mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Tolak Tayangan Drama ‘Madu Atau Racun’, JAKIM Akan Semak & Ambil Tindakan Susulan – Menteri Agama
Kerajaan tak kompromi dengan pihak penerbitan drama dan filem yang sentuh sentiviti agama dan kaum
Terbaharu Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama serta filem yang bertindak menyentuh sensitiviti agama serta kaum di dalam karya mereka.
Ujar beliau, kebebasan berkarya hendaklah disertai tanggungjawab untuk hormat nilai agama, keharmonian masyarakat dan juga sensitiviti kaum termasuklah budaya yang menjadi asas kepada perpaduan Malaysia.
“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berhubung penayangan drama ‘Madu atau Racun’ di platform penstriman iQIYI yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
CMCF dan FINAS akan adakan pertemuan dengan produksi dan iQIYI
Tambahnya, Kementerian Komunikasi telah pun meminta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang berada di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bersama dengan FINAS, mengadakan pertemuan dengan pihak produksi serta iQIYI.
Pertemuan berkenaan bakal dilakukan untuk mendapatkan penjelasan penuh mengenai kandungan drama terbabit.
“Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut mengambil bahagian dalam pertemuan tersebut.”
FINAS dan MCMC ada bidang kuasa masing-masing
Kata Fahmi lagi, FINAS ada kuasa dalam mengawal selia berhubung aktiviti perfileman serta pawagam, manakala MCMC pula ada bidang kuasa yang mengawal selia berkaitan penyiaran televisyen dan komunikasi.
“Pada masa ini, platform penstriman Over-The-Top (OTT) masih belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan yang sama seperti penyiaran konvensional,” jelasnya lagi.
Fahmi mengatakan kebebasan dalam berkarya perlulah disertai dengan:
- Tanggungjawab untuk menghormati nilai agama
- Kerharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara
Kerajaan tak teragak-agak untuk ambil tindakan sewajarnya
Beliau turut memaklumkan kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya jika hasil penilaian serta siasatan mendapati ada pelanggaran ke atas mana-mana garis panduan, peraturan, atau ketetapan yang berkuat kuasa.
Menurutnya lagi, pihak berkaitan juga akan meneliti hal itu melalui pertemuan yang dijadulkan bersama dengan puihak produksi dan iQIYI.
“Selepas pertemuan dan mesyuarat yang dijadualkan pada petang ini, FINAS, mewakili pihak-pihak yang terlibat, akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung hasil perbincangan serta tindakan susulan yang akan diambil.”






