
LEIPZIG: Pihak berkuasa Jerman melancarkan operasi keselamatan besar-besaran pada waktu malam selepas sebuah dron yang membawa bahan letupan ditemukan di kawasan landasan berhampiran sebuah pesawat kargo Ukraine di Lapangan Terbang Leipzig-Halle.
Penemuan itu memaksa beberapa penerbangan dilencongkan, manakala sebuah robot pemusnah bom dikerahkan untuk memeriksa dan menangani objek berkenaan.
Dalam kejadian berasingan, sebuah pesawat kargo yang membatalkan pendaratan dilaporkan terlanggar objek tidak dikenal pasti ketika berada di udara. Pesawat itu bagaimanapun berjaya mendarat dengan selamat.
“Sebuah dron yang dipasang dengan bahan letupan ditemui berhampiran landasan di Lapangan Terbang Leipzig/Halle, Jerman namun fius pencetusnya berjaya ditanggalkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan pihak berkuasa pada Rabu.
Insiden itu menyebabkan kedua-dua landasan lapangan terbang ditutup sementara dan beberapa penerbangan, termasuk sebuah pesawat penumpang, dialihkan ke lapangan terbang lain selepas satu objek terbang tidak dikenali dikesan berhampiran kawasan itu sejurus sebelum tengah malam.
Polis turut mengerahkan robot pemusnah bom untuk memeriksa objek yang ditemui berhampiran landasan selatan.
Duta Ukraine ke Jerman, Oleksii Makeiev, mengesyaki Russia berada di sebalik insiden itu.
“Siapa lagi kalau bukan Russia?” katanya kepada stesen televisyen Welt TV.
Lapangan Terbang di timur Jerman itu memainkan peranan penting sebagai hab pengangkutan barangan ketenteraan untuk tentera Jerman dan sekutu NATO, selain menjadi pangkalan operasi syarikat penerbangan kargo Ukraine, Antonov Airlines.
Rakaman video yang disiarkan agensi berita tempatan menunjukkan robot pemusnah bom berada berhampiran sebuah pesawat Antonov yang dicat dengan warna bendera Ukraine serta memaparkan slogan ‘Be Brave Like Kherson’, merujuk wilayah Ukraine yang sering menjadi sasaran serangan Russia.
Akhbar Bild pula melaporkan sebuah pesawat kargo DHL yang dalam perjalanan ke Leipzig dipercayai melanggar objek tidak dikenali ketika berada di udara kira-kira enam kilometer dari lapangan terbang.
Pesawat itu mengalami kerosakan kecil pada bahagian hidung, namun berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Hanover, tempat kerosakan itu dikesan.
Menurut polis, sebuah pesawat penumpang dari Mallorca serta beberapa pesawat kargo yang dijadualkan mendarat di Leipzig terpaksa dialihkan ke destinasi lain.
Robot pemusnah bom turut digunakan bagi memeriksa objek berhampiran landasan selatan, namun polis tidak menyatakan sama ada objek itu diletupkan secara terkawal.
Operasi penerbangan disambung semula pada awal pagi Rabu, tetapi hanya menggunakan landasan utara, manakala siasatan di landasan selatan diteruskan.
Jerman dan beberapa negara Eropah sebelum ini berulang kali mengesan penerbangan dron di kawasan sensitif seperti lapangan terbang, pangkalan tentera dan loji perindustrian.
Pihak berkuasa Jerman, antara penyokong utama ketenteraan Ukraine, mengesyaki banyak insiden tersebut didalangi Russia sebagai sebahagian daripada kempen sabotaj, pengintipan dan penyebaran maklumat palsu.-AGENSI
The post Dron bahan letupan ditemui berhampiran pesawat kargo Ukraine di Jerman appeared first on Utusan Malaysia.





