
MUSCAT: Seorang kapten sebuah kapal tangki minyak di luar pesisir Oman melaporkan terdengar satu letupan berhampiran kapal berkenaan, menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).
Menurut UKMTO, kapal itu dan semua anak kapalnya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Insiden itu berlaku kira-kira 20 batu nautika di timur laut Khasab, Oman, menurut pusat pemantauan berkenaan.
UKMTO turut menasihatkan semua kapal yang melalui kawasan itu supaya berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Laporan itu dibuat ketika Iran memaklumkan pada Ahad bahawa ia hampir mencapai persetujuan dengan Oman mengenai laluan baharu melalui Selat Hormuz, hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) membatalkan rancangan serangan besar bagi memberi ruang kepada usaha diplomatik.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, berkata kepada televisyen negara bahawa Iran hampir mencapai persetujuan dengan Oman, yang terletak di seberang Selat Hormuz, mengenai satu laluan baharu melalui perairan itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persetujuan tersebut tidak bermaksud Selat Hormuz akan dibuka semula. – AFP
The post Letupan dekat kapal tangki minyak di luar pantai Oman appeared first on Utusan Malaysia.





