TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, diperkukuh dengan penggunaan dron bagi memperluas liputan pencarian di kawasan cerun dan lokasi sukar diakses.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penggunaan dron itu membantu pemantauan kawasan yang tidak dapat dimasuki pasukan darat.
“Pengendali dron telah digerakkan ke lokasi bersama pasukan penyelamat bagi memperluas skop pencarian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, setakat jam 1 petang, seramai 12 anggota penyelamat telah digerakkan ke lokasi operasi di Kem Sukaneka menggunakan pesawat AW139.
Menurutnya, pesawat sama turut digunakan untuk membawa keluar 19 anggota penyelamat termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Malim Gunung Perhutanan yang telah berada di kawasan itu sejak 27 Mei lalu.
**media[3534916]**
“Selain itu, empat lagi anggota turut dihantar menjadikan keseluruhan 16 anggota digerakkan menggunakan pesawat,” katanya.
Sabarodzi berkata, operasi turut melibatkan pasukan darat seramai 18 anggota melalui laluan Pos Musuh menuju ke Sungai Ayer Busok.
“Pasukan ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Team 1 membabitkan lima anggota PGA dan empat Malim Gunung Perhutanan (MGP), manakala Team 2 terdiri daripada empat PGA dan lima MGP.
“Kesemua mereka mula memasuki kawasan pencarian sekitar jam 9.35 pagi,” katanya.
**media[3534917]**
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
Pada Khamis, operasi SAR dilaporkan kini tertumpu di kawasan sungai berhampiran Sungai Ayer Busok, selepas mangsa dipercayai cuba mencari sumber air selepas lebih 72 jam berada dalam hutan dengan bekalan terhad.
Terdahulu, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon memaklumkan operasi diperluas ke kawasan sungai berkenaan berdasarkan kemungkinan pergerakan terakhir mangsa.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan pendakian.
Bagaimanapun, Jaslinda meneruskan pendakian secara bersendirian ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.




