
TUMPAT – Adik kepada Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS)yang maut dipercayai ditikam suami memaklumkan dia telah memberitahu kepada dua anak kakaknya bahawa wanita tersebut telah meninggal dunia.
Marliza Ibrahim, 48, berkata, dengan luluh hati berita kematian kakaknya, Norhazwani Ibrahim, 35, dimaklumkan kepada anak saudaranya, yang berusia lima dan enam tahun pagi tadi.
“Pagi tadi saya beritahu ibu dah tiada. Bila ditanya mengapa, saya hanya menjawab kerana sakit.
“Saya tidak sanggup memberitahu kejadian sebenar, lagipun mereka masih terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku.
“Saya beritahu ibu mereka nanti akan ditanam (dikebumi) dalam pasir sama dengan arwah Tokmek dan Ayoh (nenek dan datuk). Alhamdulillah, mereka nampaknya faham,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norhazwani dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan, malam kelmarin.
Marliza berkata, kediaman mereka di Kampung Banjir, Telaga Lanas di sini, masih menerima ramai tetamu termasuk rakan-rakan arwah.
Katanya, mayat adiknya menjalani proses bedah siasat pagi ini dan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan selepas semua urusan selesai.
“Perancangannya akan segera dikebumikan sebaik tiba, tidak perlulah dilengahkan. Insya-Allah, jenazah akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor,” katanya.
The post Dua anak pegawai AKPS sudah tahu ibu meninggal appeared first on Kosmo Online.





