
KAMPAR: Hajat Norhayati Razali, 55, wanita yang terselamat dalam nahas membabitkan tiga beranak yang maut dirempuh lori Jabatan Imigresen di ibu negara pada Ogos lalu termakbul selepas hampir dua bulan kemalangan itu.
Norhayati yang mengalami kecederaan parah menziarahi kubur suaminya, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, dan dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu di sini semalam.
Dia bersyukur kerana dapat menziarahi kubur tiga ahli keluarga selepas hasratnya tertangguh kerana terlantar akibat kecederaan.
Norhayati yang berkerusi roda dibantu adiknya, Azlan Rozali dan anaknya, Siti Amirul Shakira Shaik Mohd. Firdaus ke tanah perkuburan.
“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat juga menziarahi kubur suami dan anak-anak buat pertama kali selepas nahas yang berlaku. Ini pertama kali saya masuk hingga ke kubur mereka.
“Sebelum ini saya hanya melihat kubur mereka dari luar pagar semasa menaiki ambulans untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Sudah tentu saya rasa sedih kerana kehilangan tiga ahli keluarga sekali gus, kejadian yang langsung tidak disangka-sangka tiba-tiba sahaja berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi pada 18 Ogos lalu, tiga beranak itu maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen dipercayai terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur.
Pada 20 Ogos, pemandu terlibat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh, Mohd. Akbar Zainol, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Jabatan Imigresen turut menubuhkan jawatankuasa siasatan khas bagi meneliti secara menyeluruh kes kemalangan maut itu.
Mengenai kecederaannya, Norhayati berkata, dia kini menjalani rawatan susulan di Hospital Kampar dan doktor memaklumkan kecederaannya semakin baik tetapi mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Katanya, walaupun sudah bertambah baik, dia masih tidak dapat berjalan sebaliknya perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
“Ikut kata doktor keadaan saya semakin pulih, tangan yang patah sudah boleh digerakkan. Namun, kaki yang patah masih tidak boleh berpijak. Kaki kanan bahagian yang paling teruk cedera,” katanya. – UTUSAN
The post Hajat ziarah kubur suami, dua anak makbul selepas dua bulan nahas appeared first on Utusan Malaysia.




