Dua anggota cawangan khas nafi jadi ‘ulat’ di KLIA, dakwa dikasari ketua pengarah AKPS

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 4:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Dua anggota cawangan khas nafi jadi ‘ulat’ di KLIA, dakwa dikasari ketua pengarah AKPS

SHAH ALAM, 7 OKT: Dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau ‘counter setting’ ketika menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1).

Sebaliknya, kedua-dua anggota itu mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam kejadian pada 28 September lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi peguam mereka, Datuk Kamal Hisham Ja’afar daripada Kamal Hisham & Associates, hari ini, lapor Berita Harian.

Kamal Hisham berkata dakwaan terhadap kedua-dua anak guamnya tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu utama yang sedang disiasat, iaitu dakwaan berlaku kekasaran fizikal terhadap mereka ketika menjalankan tugas rasmi.

“Sebarang dakwaan sedemikian hendaklah disokong dengan bukti dan tidak seharusnya digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu utama,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata kedua-dua anak guamnya sedang menjalankan tugasan rasmi ketika kejadian dan mendakwa insiden berlaku di tempat awam sehingga menyebabkan kecederaan serta menjejaskan maruah mereka sebagai anggota penguat kuasa.

“AKPS bukan sebahagian daripada PDRM, sebaliknya kedua-dua agensi mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza,” katanya.

Kamal Hisham berkata dari sudut perundangan, berdasarkan fakta dan keterangan yang sedang dikemukakan kepada pihak berkuasa, tindakan yang didakwa berlaku berpotensi membabitkan beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Bagaimanapun, kami menegaskan bahawa keputusan mengenai sebarang kesalahan hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh,” katanya.

Kedua-dua anggota polis itu turut menggesa masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan naratif yang belum disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh.

“Tiada sesiapa pun, tanpa mengira pangkat atau kedudukan, harus diletakkan di atas undang-undang atau dibenarkan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Kamal Hisham berkata pihaknya berharap siasatan terhadap kejadian itu dijalankan secara telus, bebas dan segera, selain sebarang tindakan undang-undang sewajarnya diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti.

Beliau turut meminta semua pihak mengelakkan kenyataan awam yang boleh menjejaskan atau mempengaruhi proses siasatan serta memastikan hak, keselamatan dan maruah anak guamnya sebagai anggota polis yang sedang menjalankan tugas rasmi terus dilindungi.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata polis sudah mengambil keterangan 25 saksi termasuk anggota polis dan kakitangan AKPS, polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pengendali bagasi, pegawai perubatan serta orang awam.

Beliau dilaporkan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Sebelum ini, tular klip video memaparkan Mohd Shuhaily memarahi dua lelaki, dengan seorang daripada mereka kelihatan ditarik telinganya secara kasar.

Selain video berkenaan, satu salinan laporan polis yang didakwa dibuat individu yang menjadi mangsa layanan kasar Mohd Shuhaily turut tular di media sosial.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved