JOHOR BAHRU - Dua bekas banduan dihukum penjara keseluruhan 31 bulan 15 hari oleh Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas masing-masing mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan mencuri dan melupuskan harta curi pada awal bulan ini.
Tertuduh, J Durai Raj, 26, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 23 bulan 15 hari, manakala P Sherman Paul, 27, dihukum penjara lapan bulan selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dan berasingan di hadapan Majistret A Sharmimi, Nurzihan Abdul Rehman dan Nur Fatin Mohamed Farid.
Bagi tertuduh Durai, mahkamah turut mengenakan hukuman denda keseluruhan RM19,000, manakala Sherman sebanyak RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Pulai Mutiara, Johor Bahru pada 7 September lalu.
Mereka didakwa menyimpan beberapa harta curi membabitkan bungkusan pembelian dalam talian termasuk rak kasut, lampin pakai buang, kamera, barang kemas dan kotak peralatan bengkel.
Kesemua pertuduhan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 411, Seksyen 414, Seksyen 511 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Anis Syafeeqah Mohd Shariffudin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua lelaki itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan rompakan berkumpulan membabitkan kabel milik sebuah syarikat di Setia Eco Gardens, Gelang Patah pada 28 Julai lalu.
Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan terhadap dua individu dengan melarikan satu gulung kabel kira-kira jam 2 pagi di Jalan Laman Setia Utama, Setia Eco Gardens, Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamila Luthfi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula serta penyerahan dokumen pada 19 Oktober depan.






