Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

7 Sep 2026 • 2:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

SUNGAI PETANI – Empat lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, bulan lalu.

Mereka ialah Muhamad Arif Mahidin, 26, dan abangnya, Mohamad Bakri, 37, serta dua lagi rakan mereka iaitu Mohamad Iekram Mohd Zaki, 29, dan Mohd Firdaus Che Mustafa, 36.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman, walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd. Badaruddin Md. Nayan, 30, di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sungai Division, di sini antara pukul 1.30 tengah hari hingga 3 petang, 23 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta sebatan minimum 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd. Noor tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh.

Mahkamah turut dimaklumkan peguam Durratul ‘Ain Mahmud Morshidi yang bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) bahawa terdapat dua tertuduh mempunyai masalah kesihatan.

Mohamad Iekram cedera pada kaki kanan akibat kemalangan, manakala Mohamad Bakri memohon mendapatkan alat bantuan pernafasan kerana masalah asma.

Noor Farah kemudiannya meminta perkara itu dimaklumkan kepada pegawai penjara tempat tertuduh ditahan berikutan pihak penjara mempunyai fasiliti kesihatan di pusat tahanan.

Mahkamah menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! pada 26 Ogos lalu melaporkan pergaduhan selepas seorang lelaki disyaki mencuri barangan milik salah seorang suspek dipercayai menjadi punca mangsa dipukul hingga maut.

Mayat mangsa kemudian ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Division pada 23 Ogos. – KOSMO! ONLINE

The post Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved