
PORT DICKSON – Kegiatan dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah terbongkar selepas mereka ditahan polis, sekali gus membawa kepada penyelesaian 12 kes pecah rumah di tiga negeri.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Menurut beliau, tangkapan dibuat pada 3 September lalu kira-kira pukul 4 petang di sekitar Teluk Kemang.
“Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai 54 rekod jenayah lampau, termasuk dua kes dikehendaki polis, manakala suspek kedua mempunyai 11 rekod jenayah lampau.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam empat kes pecah rumah di Negeri Sembilan, tiga kes di Kedah dan lima kes di Perak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Tambah beliau, antara barangan yang dipercayai dirampas daripada kegiatan berkenaan termasuk beg, kad pengenalan, mata wang asing, batang joran, komputer riba, telefon bimbit dan dadah anggaran berat 6.8 gram.- KOSMO! ONLINE
The post Pakar pecah rumah diberkas di Port Dickson appeared first on Kosmo Digital.






