Dua beradik ditikam: Konflik hubungan dipercayai punca serangan

30 Sep 2026 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua beradik ditikam: Konflik hubungan dipercayai punca serangan
Polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian luar rumah selain menemukan dua mangsa yang cedera sedang bersembunyi di dalam tandas.

KUALA LUMPUR – Masalah membabitkan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan percintaan dipercayai menjadi antara punca dua beradik cedera selepas ditikam lelaki warga asing yang menceroboh masuk rumah mereka di Taman Sri Bintang Kepong di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, setakat ini tiada keterangan jelas menunjukkan mangsa wanita mempunyai hubungan percintaan dengan suspek.

"Berdasarkan keterangan diperoleh setakat ini, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah dihadapi suspek membabitkan aspek hubungan kekeluargaan, persahabatan dan percintaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar Bakri berkata, kedua-dua mangsa telah menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.

"Kedua-dua mangsa akan ditempatkan di wad biasa selepas mendapat kebenaran daripada doktor pakar," katanya.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Setakat ini, polis telah merakam percakapan lima individu termasuk ahli keluarga mangsa serta kenalan suspek.

"Bagaimanapun, keterangan kedua-dua mangsa akan diambil selepas mereka selesai menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada laporan menunjukkan suspek mempunyai masalah mental.

"Kita masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan," katanya.

Pada Selasa, Anuar Bakri dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS999 daripada orang awam pada 5.04 pagi memaklumkan insiden berkenaan.

Katanya, polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian luar rumah selain menemukan dua mangsa yang cedera sedang bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah.

Polis kemudian naik ke tingkat atas rumah dan mendapati suspek warga asing berada di dalam bilik sambil memegang sebilah pisau.

Suspek kemudiannya ditahan polis dan turut dirampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Anuar Bakri berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa yang juga warga tempatan serta suspek mengalami kecederaan akibat kesan tikaman.

Ketiga-tiganya kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved