
YAN – Dua beradik dari Kampung Sungai Daun Tengah, di sini yang dikesan tidak menunaikan solat Jumaat hari ini diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Agama bagi membantu siasatan.
Pegawai Agama Daerah Yan, Syeikh Mohd Ikmal Hafif Azmi berkata, dua lelaki berusia 23 dan 37 tahun itu mengaku tidak menunaikan solat Jumaat ketika diperiksa penguat kuasa agama.
Katanya, tindakan tersebut susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya.
“Operasi ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan di Kedah membabitkan 18 penguat kuasa wanita, polis wanita serta bantuan anggota Penguat Kuasa Agama lelaki selepas solat Jumaat,” katanya di sini hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 iaitu kesalahan berkaitan tidak menunaikan sembahyang Jumaat.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, sebelum ini tindakan dijalankan dalam bentuk peringatan dan pendekatan dakwah individu sahaja.
“Kali ini kita mengambil pendekatan undang-undang bagi mendorong masyarakat supaya patuh kepada perintah agama.
“Ia adalah satu tanggungjawab pemerintah untuk memastikan masyarakat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga mengharapkan orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan juga memainkan peranan sendiri mengingatkan sesama masyarakat tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beradik gagal solat Jumaat diberi notis appeared first on Kosmo Online.





