BATU PAHAT – Dua beradik lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36.7, Jalan Batu Pahat–Kluang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, Fazli Yuzaini Zainal Abideen, 30, dan adiknya, Irfan Helmi, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, dua lagi adik mereka, Azrul Nizam, 29, dan Zul Fahmi, 25, mengalami kecederaan di kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat beradik itu dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke Ayer Hitam dengan menaiki sebuah Toyota Vios yang dipandu oleh Azrul Nizam.
**media[3496582]**
“Setibanya di lokasi kejadian, hujan lebat menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Proton Saga serta Volvo XC90.
“Akibat pelanggaran itu, dua mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemandu Proton Saga, seorang wanita berusia 42 tahun, mengalami kecederaan pada kaki kanan, manakala pemandu Volvo XC90, lelaki berusia 35 tahun bersama isterinya, 34, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.






