KOTA TINGGI - Detik menyayat hati menyelubungi tragedi dua beranak yang maut akibat lemas di Pantai Kampung Punggai, Pengerang, apabila tangan bapa dilaporkan masih erat memegang kaki anak sulungnya ketika ditemui.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Ahad itu, pengusaha bengkel kereta, Mohammad Nizam Zainal, 33, bersama anaknya, Muhammad Zamri Mikhail, 8, dilaporkan mandi-manda di pantai berkenaan sebelum dihanyutkan ombak besar kira-kira 10 minit kemudian.
Isteri mangsa, Nurul Jannah Kamaruzaman, 31, berkata, suami dan anaknya itu dibawa keluar dari laut oleh bapa saudaranya selepas kejadian berlaku.
“Suami dan anak turun mandi ke laut jam 6 petang dan tak lama kemudian terdengar suami menjerit meminta tolong.
“Saya ternampak suami lambung anak beberapa kali, nak cuba selamatkannya sebelum orang ramai di situ segera memegang erat tangan masing-masing untuk membuat rantaian bagi membawa keluar mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Isnin.
**media[3631871]**
Nurul Jannah berkata, mereka ke tapak perkhemahan itu bersama keluarga ibu saudaranya sempena cuti persekolahan dan sepatutnya pulang ke rumah hari ini.
Menurutnya, suaminya yang gemar berkhemah begitu teruja untuk menyertai aktiviti berkenaan, malah menunjukkan perubahan sikap sejak beberapa hari sebelum kejadian.
"Suami memang suka berkhemah dan sangat teruja untuk pergi kali ini. Nampak la perubahan dia yang terlebih ceria dan banyak cakap.
"Cuma tiga hari kebelakangan ini dia tidak dapat tidur malam sehingga terpaksa mendapatkan ubat," katanya.
Tambahnya, sebelum kejadian, suaminya juga tidak mengajaknya mandi pantai seperti kebiasaannya.
“Saya sedar dia mandi di pantai pun selepas bapa saudara tanya mana Nizam dan Zamri lalu saya ternampak mereka sudah mandi di pantai,” katanya.
Nurul Jannah berkata, perasaan tidak sedap hati yang dirasai sepanjang perjalanan ke tapak perkhemahan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila dia kehilangan suami dan anak sulungnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua beranak berkenaan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bayu Damai.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Felda Papan Timur di sini.


![[VIDEO] Suami sempat lambung anak sebelum lemas bersama](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/lemas-suami-anak-1024x768.jpeg)

![[VIDEO] Dua beranak lemas: Tangan bapa masih pegang erat kaki anak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/31/3631870.webp)