
KOTA TINGGI: Nurul Jannah Kamaruzaman hanya mampu menyaksikan suaminya menjerit meminta tolong sambil melambung-lambung anak lelaki mereka sebelum kedua-duanya lemas di pantai dekat Kampung Punggai, di sini, semalam.
Nurul Jannah, 31, berkata, dia bersama suami dan dua anaknya hadir ke tapak perkhemahan itu untuk meluangkan masa sempena cuti sekolah bersama keluarga ibu saudaranya.
“Perancangan kami adalah untuk tidur semalaman di sini dan pulang semula ke rumah, hari ini. Ketika kejadian suami, Mohammad Nizam Zainal, 33, dan anak saya, Muhammad Zamri Mikhail, 8, mandi pantai kira-kira pukul 6 petang.
“Saya tidak ikut kerana sedang mengemas khemah pada ketika itu. Tetapi kira-kira 10 minit kemudian saya mendengar orang menjerit meminta pertolongan. Saya terus lari ke pantai dan nampak suami melambung anak sambil menjerit meminta tolong.
“Orang ramai termasuk bapa saudara saya terus membuat rantaian manusia untuk mendapatkan suami dan anak saya. Ketika mereka ditarik, suami saya masih memegang erat kaki anak kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.
Tambah Nurul Jannah, suami yang merupakan seorang pengusaha bengkel kenderaan ada menunjukkan tanda-tanda perubahan sikap beberapa hari sebelum kejadian, iaitu sukar untuk tidur malam.
“Tetapi dia ceria apabila merancang perjalanan ke tapak perkhemahan ini, dia dan ibu saudaranya merancang percutian ini. Suami memang sangat minat berkhemah.
“Cuma tiga hari sebelum kejadian, dia tidak boleh tidur sampai terpaksa minta ubat doktor berhubung perkara itu. Bagaimanapun, apabila sampai di tapak perkhemahan dia banyak bercakap tentang pelbagai perkara.
“Satu lagi kelainan adalah apabila sampai, dia terus turun ke laut bersama anak tanpa mengajak atau saya ikut sekali. Selalunya kalau pergi pantai, dia akan paksa saya mandi bersama,” katanya.
Menurut ibu muda itu lagi, dia tidak menjangka beberapa perbezaan sikap itu merupakan petanda kepada perkara yang akan berlaku namun tetap reda dengan ketentuan Ilahi.-UTUSAN
The post Nurul Jannah lihat suami, anak dilambung ombak sebelum lemas appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Suami sempat lambung anak sebelum lemas bersama](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/lemas-suami-anak-1024x768.jpeg)



