![Image from: [VIDEO] Suami sempat lambung anak sebelum lemas bersama](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/lemas-suami-anak-1024x768.jpeg)
KOTA TINGGI – Luluh hati seorang hati isteri apabila hanya mampu menyaksikan suaminya menjerit meminta tolong sambil melambung-lambung anak lelaki mereka sebelum kedua-dua terkorban dalam kejadian lemas di pantai dekat Kampung Punggai, semalam.
Nurul Jannah Kamaruzaman, 31, isteri kepada Allahyarham Mohammad Nizam Zainal, 33, yang terkorban bersama anak mereka, Muhammad Zamri Mikhail, 8, dalam kejadian lemas itu berkata, dia terus berlari ke pantai sejurus mendengar jeritan cemas suaminya itu.
Menurutnya, dia bersama suami dan dua anak hadir ke tapak perkhemahan itu untuk meluangkan masa sempena cuti sekolah bersama keluarga ibu saudaranya.
”Perancangannya kami tidur semalam dan akan balik hari ini. Masa kejadian suami dan anak turun mandi kira-kira pukul 6 petang, manakala saya tidak ikut serta kerana sedang mengemas khemah.
”Kira-kira 10 minit kemudian, saya mendengar orang menjerit meminta pertolongan. Saya terus berlari ke pantai dan nampak suami melambung-lambung anak sambil menjerit meminta tolong sebelum dia sendiri tenggelam dibenam ombak.
”Orang ramai termasuk bapa saudara saya segera bertindak membina rantai tangan untuk menarik mereka dari terus dibawa arus. Masa bapa saudara saya tarik itu, suami masih memegang erat kaki anak,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut memberitahu, arwah suaminya yang mengusahakan bengkel kenderaan menunjukkan perubahan sikap yang agak ketara sejak beberapa hari lalu apabila kerap mengalami masalah sukar tidur.
Katanya, dia reda serta memaklumkan jenazah suami dan anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Suami sempat lambung anak sebelum lemas bersama appeared first on Kosmo Digital.






