Dua beranak sesat di hutan sempat hubungi keluarga, beritahu tak jumpa jalan keluar

17 Oct 2026 • 9:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua beranak sesat di hutan sempat hubungi keluarga, beritahu tak jumpa jalan keluar
Dua beranak dipercayai tersesat ketika mencari akar kayu di hutan berhampiran kawasan rekreasi Air Panas La (La Hot Spring), Hulu Besut, Jertih sejak semalam. Gambar hiasan

JERTIH - [DIKEMAS KINI] Dua beranak dipercayai tersesat ketika mencari akar kayu di hutan berhampiran kawasan rekreasi Air Panas La (La Hot Spring), Hulu Besut, di sini sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, Adam Adnan, 25, dan bapanya, Adnan Mohamad, 57, masing-masing dari Kulim dan Alor Setar, Kedah, menginap di Desa Landak Chalet, Kampung Padang Landak, di sini sebelum keluar kira-kira jam 7 pagi Khamis lepas untuk mencari akar kayu di kawasan hutan berkenaan.

Beliau berkata, pada kira-kira jam 3.30 petang semalam, seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga memaklumkan mereka tersesat dan gagal menemui jalan keluar dari kawasan hutan itu.

"Kedua-dua lelaki berkenaan bagaimanapun tidak dapat dihubungi selepas panggilan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan ahli keluarga terhadap keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rozaime berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak itu disambung jam 8 pagi tadi dengan kekuatan 38 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

Beliau berkata, pasukan penyelamat menerima maklumat bahawa Adam berjaya menghubungi keluarga dan menghantar lokasi terakhir mereka berada di kawasan hutan kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Berdasarkan lokasi yang dihantar mangsa, pasukan penyelamat bergerak ke kawasan berkenaan untuk mengesan dan membawa keluar kedua-dua mangsa," katanya.

Sementara itu, isteri Adam, Nur Aliah Zamin, 20, berkata, suami bersama bapa mentuanya masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk mencari akar kayu yang dipercayai mahu digunakan bagi merawat masalah saraf yang dialami bapa mentuanya.

Beliau berkata, kedua-dua beranak itu tiba di kawasan berkenaan pada Rabu lepas untuk mencari akar kayu selain bercuti.

"Suami saya bekerja sebagai pembantu gerai di Kulim, manakala bapa mentua saya tidak bekerja," katanya.

Nur Aliah berkata, beliau dimaklumkan kedua-dua mereka tidak membawa bekalan makanan ketika memasuki hutan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan mereka selepas dilaporkan hilang. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved