Dua bot penumpang ditahan gagal kemuka dokumen sah

30 Oct 2026 • 12:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua bot penumpang ditahan gagal kemuka dokumen sah
Antara bot penumpang yang ditahan menerusi operasi dijalankan baru-baru ini.
Image from: Dua bot penumpang ditahan gagal kemuka dokumen sah
Operasi selama tiga hari bermula 27 hingga 30 Oktober itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT).

PELABUHAN KLANG – Dua bot penumpang ditahan selepas didapati gagal mengemukakan dokumen bot yang sah dalam Operasi Khas Jalmar Siri 3 di perairan Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan selepas pemeriksaan mendapati berlaku kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).

Menurutnya, operasi yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 30 Oktober itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT), membabitkan seramai 30 pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi.

"Operasi ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pelayaran serta memastikan pengusaha bot mematuhi syarat pelesenan dan keperluan kelengkapan keselamatan yang ditetapkan, khususnya bagi bot penumpang.

"Selain itu, operasi ini turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras aktiviti perkapalan yang melanggar undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

**media[3693992]**

Beliau berkata, antara aktiviti yang diberi perhatian termasuk pemindahan muatan antara kapal (ship-to-ship), pengisian bahan api kapal (bunkering) tanpa lesen, pengoperasian kapal pengangkut pasir yang tidak mematuhi syarat serta pencerobohan oleh kapal yang bersauh tanpa kebenaran.

"Operasi ini dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa pertama dimulakan dengan taklimat dan perkongsian ilmu oleh pegawai JLWT berkaitan prosedur pemeriksaan aktiviti pemindahan muatan antara kapal serta pengisian bahan api kapal.

"Fasa kedua membabitkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di laut, manakala fasa ketiga melibatkan majlis penutup di Pejabat JLWT yang turut dihadiri Pengarah JLWT, Harizam Albukhari," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerjasama antara kedua-dua agensi itu dapat meningkatkan kesedaran pengusaha bot mengenai kepentingan keselamatan pelayaran.

"Usaha ini secara tidak langsung dapat memastikan setiap operasi mematuhi syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved