
RANAU: Polis menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan berasingan dan merampas 27 botol air ketum dalam operasi bagi membanteras penjualan serta pemprosesan bahan terlarang itu di sebuah kampung, di sini, Selasa.
Kedua-dua suspek berusia 25 dan 37 tahun ditahan secara berasingan masing-masing pada kira-kira jam 5.30 petang dan 5.40 petang hasil risikan serta maklumat daripada penduduk setempat.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 5.30 petang, polis menahan lelaki berusia 25 tahun dan merampas 10 botol air mineral, masing-masing mengandungi kira-kira 1.5 liter air ketum.
Polis turut merampas sebuah kotak polistiren, alat pembakar dapur, tong gas hijau, dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan untuk menyediakan air ketum.
Kira-kira 10 minit kemudian, polis menjalankan serbuan berasingan dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.
Suspek kedua didapati memiliki 17 botol air mineral, masing-masing mengandungi kira-kira 1.5 liter air ketum.
Polis turut merampas sebuah bekas berwarna merah, dua tong gas hijau, sebuah dapur memasak dan periuk.
Peralatan yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu dipercayai digunakan untuk memproses dan menyediakan air ketum. Polis berkata, penahanan kedua-dua suspek adalah hasil risikan berterusan serta maklumat daripada orang awam sekali gus menunjukkan pentingnya peranan masyarakat dalam membantu agensi penguat kuasa membanteras kegiatan haram.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.






