
BATU GAJAH: Polis menahan empat lelaki tempatan selepas dipercayai memecah masuk sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan 3, Pusing di sini, Ahad lalu.
Kesemua suspek berusia antara 27 hingga 34 tahun itu ditahan dalam tangkapan berasingan susulan kes ceroboh premis dan memiliki peralatan disyaki boleh digunakan untuk tujuan pecah masuk.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.10 malam ketika sepasukan anggota Balai Polis Pusing yang sedang menjalankan rondaan Op Sepadu Ambang Merdeka mengesan dua lelaki berada di kawasan sebuah kilang dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, semasa pemeriksaan sedang dijalankan, seorang daripada suspek cuba melarikan diri dengan memanjat pagar premis, namun berjaya ditangkap selepas dikejar anggota polis.
“Seorang lagi suspek yang turut berada di lokasi kejadian berjaya ditahan manakala dua lagi suspek ditahan awal pagi semalam. Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Katanya, kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Keempat-empat suspek telah direman di Mahkamah Majistret Ipoh semalam. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes-kes lain di sekitar Batu Gajah dan Ipoh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 28(1)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.-UTUSAN
The post Polis tahan empat lelaki disyaki pecah masuk kilang appeared first on Utusan Malaysia.





