
KUALA LUMPUR – Dua pingat emas bukan sesuatu yang mustahil buat skuad sepak takraw negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, namun sekurang-kurangnya satu emas perlu berada dalam genggaman bagi memenuhi harapan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan.
Sumali percaya barisan negara memiliki kemampuan untuk mencabar dua emas, tetapi memberi amaran laluan kali ini jauh daripada mudah susulan peningkatan ketara beberapa pencabar Asia menjelang temasya di Jepun.
“Untuk sepak takraw, sasaran peribadi saya sekurang-kurangnya satu emas di Sukan Asia. Kalau dapat dua, itu bonus untuk sepak takraw dan bonus untuk negara,” katanya yang ditemui semasa sesi lawatan CDM ke Sukan Asia, hari ini.
Keyakinan itu bagaimanapun hadir bersama peringatan selepas beliau menyaksikan sendiri perkembangan Vietnam, Myanmar dan Laos pada Piala Raja Thai yang berakhir semalam, sekali gus memberi gambaran persaingan di Aichi-Nagoya bakal lebih terbuka.
“Semua negara sudah meningkat. Vietnam, Myanmar, malah Laos juga semakin kuat. Kalau kita tidak fokus betul-betul, silap-silap bukan sahaja Malaysia, Thailand pun boleh kalah. Terutamanya acara kuadran, persaingan memang terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Sumali melihat penyertaan di Piala Raja Thai sebagai pendedahan penting buat kelompok pemain muda negara apabila gabungan tenaga senior dan junior berjaya melangkah ke final acara berpasukan, namun mereka masih memerlukan pengalaman untuk mencapai tahap lebih tinggi.
“Saya percaya kalau pemain kita terus diberikan pendedahan seperti ini, dalam tempoh setahun mereka mampu berada pada tahap sama dengan pemain senior serta pemain hebat dari Thailand dan Vietnam. Pengalaman dan kematangan sangat penting apabila bermain di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Bagaimanapun, sasaran satu emas itu merupakan sasaran peribadi Sumali dan bukan ketetapan rasmi kontinjen, dengan jumlah sebenar hanya akan diumumkan dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas perbincangan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dengan setiap skuad lelaki dan wanita hanya dibenarkan menyertai dua acara sepak takraw di Aichi-Nagoya, Sumali mahu baki kira-kira sebulan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memantapkan persiapan serta memastikan pemain terhindar daripada kecederaan sebelum misi memburu emas bermula. KOSMO! ONLINE
The post Dua emas dalam radar sepak takraw appeared first on Kosmo Digital.



