Sepak takraw buru dua emas di Sukan Asia

12 Aug 2026 • 6:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sepak takraw buru dua emas di Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, bulan depan dengan peluang memburu dua emas terbuka sekiranya barisan pemain mampu mempamerkan prestasi terbaik.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, sasaran itu mengambil kira pencapaian skuad negara sebelum ini, namun beliau mengakui cabaran kali ini lebih getir berikutan peningkatan mendadak pasukan lain.

“Untuk sepak takraw, sasaran peribadi saya sekurang-kurangnya satu emas di Sukan Asia. Kalau dapat dua, itu bonus untuk sepak takraw dan bonus untuk negara,” katanya.

Sumali yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan persaingan pada Sukan Asia kali ini dijangka lebih sengit selepas melihat peningkatan pasukan seperti Vietnam, Myanmar dan Laos pada Piala Raja Thai yang berakhir semalam.

“Semua negara sudah meningkat. Vietnam, Myanmar, malah Laos juga semakin kuat. Kalau kita tidak fokus betul-betul, silap-silap bukan sahaja Malaysia, Thailand pun boleh kalah.Terutamanya acara kuadran, persaingan memang terbuka,” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia 2026, hari ini.

Mengulas prestasi skuad negara di Piala Raja Thai, beliau menyifatkan kejohanan itu sebagai medan penting untuk pemain muda menimba pengalaman selepas Malaysia membawa gabungan pemain senior dan junior.

Katanya, kejayaan melangkah ke final acara berpasukan membuktikan pemain muda mempunyai potensi, namun masih memerlukan pendedahan dan kematangan untuk bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.

“Saya percaya kalau pemain kita terus diberikan pendedahan seperti ini, dalam tempoh setahun mereka mampu berada pada tahap sama dengan pemain senior serta pemain hebat dari Thailand dan Vietnam.Pengalaman dan kematangan sangat penting apabila bermain di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, sasaran rasmi keseluruhan kontinjen termasuk sepak takraw hanya akan diumumkan dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas perbincangan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pada Sukan Asia Nagoya, acara sepak takraw lelaki dan wanita masing-masing hanya dibenarkan bertanding dalam dua acara, sekali gus menjadikan peluang memburu emas lebih terhad.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemain, jurulatih dan pengurus pasukan supaya memanfaatkan baki kira-kira sebulan untuk memperkemaskan persiapan selain mengelak kecederaan yang boleh menjejaskan sasaran kontinjen.-UTUSAN

The post Sepak takraw buru dua emas di Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved