Dua hari kembali bertugas, Dr Ainul terkorban dalam nahas helikopter

8 Sep 2026 • 10:35 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Dua hari kembali bertugas, Dr Ainul terkorban dalam nahas helikopter

SHAH ALAM, 8 SEPT: Bapa kepada Dr Ainul Baraah, 32, menerima pengesahan bahawa anaknya meninggal dunia dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang tadi.

Kamaruddin Salleh, 69, berkata berita itu diterima hanya dua hari selepas Dr Ainul kembali ke Sarawak selepas bercuti selama seminggu di Kelantan, lapor Berita Harian.

“Baru dua hari anak saya kembali ke Sarawak selepas pulang bercuti di Kelantan selama seminggu, hari ini kami mendapat berita helikopter dinaikinya terhempas dan dia meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, beliau pada awalnya menerima panggilan daripada besannya yang memaklumkan helikopter dinaiki Dr Ainul terhempas, namun keadaan anaknya ketika itu masih belum diketahui.

“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan kedua yang memaklumkan anak saya meninggal dunia,” katanya.

Kamaruddin berkata, isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, terkejut menerima berita itu dan keadaan kesihatannya menyebabkan mereka belum dapat berangkat ke Sarawak.

Katanya, anak-anak serta keluarga besan sudah bergerak ke Kuala Lumpur sebelum dijadualkan berlepas ke Sarawak pagi esok.

Dr Ainul yang merupakan anak keempat daripada lima beradik baru berkhidmat sebagai doktor tetap kira-kira dua tahun dan bertugas di sebuah hospital di Miri.

Kamaruddin menyifatkan anaknya sebagai seorang yang pendiam, baik dan banyak membantu keluarga.

“Sepanjang seminggu pulang ke kampung, Ainul banyak membawa kami keluar berjalan-jalan,” katanya.

Terdahulu, helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Port (STOLport), Sarawak.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima notifikasi kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai juruterbang Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved