BERNAS perkasa pesawah menerusi teknologi digital

LocalTechnology
9 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BERNAS perkasa pesawah menerusi teknologi digital

SERDANG: Tempoh menunggu keputusan analisis tanah antara dua minggu hingga 30 hari kini dapat dipendekkan kepada kira-kira lima minit menerusi penggunaan teknologi pengimbas tanah yang membantu pesawah membuat keputusan lebih tepat sebelum memulakan penanaman.

Ketua Unit Agronomi Jabatan Ladang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Dr. Nur Firdaus Mohamed Yusof berkata, AgroCares Soil Scanner merupakan antara teknologi pertanian pintar yang diketengahkan bagi membantu pesawah.

Katanya, teknologi berkenaan selari dengan usaha BERNAS memberikan nilai tambah melalui penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam tanaman padi.

“Sebelum ini, sampel tanah pesawah perlu dihantar ke makmal, manakala perjalanan, penyediaan sampel dan giliran analisis menyebabkan keputusan paling cepat hanya diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Tempoh yang diambil itu kadang-kadang menyebabkan kita terlepas masa yang sesuai untuk melakukan rawatan tanah, sedangkan padi mengambil masa maksimum sekitar empat bulan dan setiap gerak kerja perlu dilakukan dengan cepat,” katanya ketika ditemui di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Nur Firdaus berkata, Soil Scanner tersebut digunakan untuk mendapatkan bacaan tahap keasidan tanah (pH) dan kapasiti pertukaran kation (CEC) melalui pangkalan data berasaskan awan.

“Bacaan itu boleh dilihat menerusi aplikasi AgroCares pada telefon pintar, selain laporan yang dijana turut menyediakan cadangan rawatan bersesuaian untuk sawah berkenaan.

“Dalam tempoh lima minit, kita sudah boleh memberitahu pesawah apakah tindakan susulan yang perlu dilakukan terhadap tanah mereka sebelum penanaman dimulakan,” katanya.

Menurut beliau, maklumat tersebut penting kerana terdapat pesawah yang tidak mengetahui sama ada tanah mereka sudah bersedia untuk penanaman serta mampu menyokong pertumbuhan benih dan pembentukan anak padi.

“Melalui pemprofilan tanah menggunakan pH dan CEC, kita perlu memastikan bacaan pH melebihi 5.5 kerana jika hanya 4.5, tanah itu belum bersedia dan terdapat kemungkinan benih tidak tumbuh,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan tanah merupakan aktiviti pertama dalam tanaman padi dan kegagalan merawatnya dengan betul boleh menjejaskan usaha meningkatkan hasil pada akhir musim.

Justeru, pertanian tepat atau precision farming diperlukan bagi membolehkan ujian, keputusan dan rawatan tanah dilakukan pada hari yang sama berdasarkan data tepat serta masa nyata.

Menurut Nur Firdaus, BERNAS membeli Soil Scanner pada tahun ini untuk menguji keupayaan peralatan tersebut dan membandingkan bacaannya dengan keputusan analisis makmal.

Katanya, peringkat penilaian sudah selesai dan penggunaannya dimulakan di Kelantan serta Terengganu berdasarkan permulaan musim penanaman di kedua-dua negeri berkenaan.

“Bagi 2027, kita akan membeli tiga lagi Soil Scanner untuk kegunaan mengikut wilayah supaya teknologi ini dapat dimanfaatkan oleh pesawah.

“Bagaimanapun, alat berkenaan belum boleh digunakan di Sabah dan Sarawak kerana pangkalan data pemprofilan tanah di kedua-dua negeri itu masih belum lengkap,” katanya.

Selain keadaan tanah, Nur Firdaus berkata, pengurusan air juga penting kerana tanaman padi memerlukan bekalan air mencukupi sepanjang tempoh penanaman, terutama ketika berdepan perubahan cuaca.

Sehubungan itu, BERNAS mengetengahkan pam air solar bergerak yang dilengkapi sensor paras air bagi memantau keadaan air di dalam petak sawah menerusi telefon pintar.

“Apabila sensor mengesan paras air berada di bawah tahap yang ditetapkan, sistem akan mengaktifkan pam dan menyalurkan air melalui paip tanpa memerlukan pesawah berada di sawah.

“Pam air solar tersebut mampu digunakan bagi kawasan seluas empat hektar dan boleh dialihkan mengikut fasa penanaman, sekali gus mengurangkan keperluan menyediakan satu unit bagi setiap petak sawah padi,” katanya.

“Seorang pengusaha atau pesawah boleh mengawal beberapa mesin secara serentak walaupun jentera tersebut berada di petak sawah berbeza, selagi kawasan berkenaan mempunyai capaian Internet.

“Dron pertanian pula boleh digunakan untuk menabur benih, membaja serta mengawal penyakit, perosak dan rumpai tanpa pesawah perlu menggalas beban berat atau berjalan di dalam petak sawah,” katanya.

Tambah beliau, dron pemantauan dengan kamera biasa atau imejan multispektrum membolehkan keadaan tanaman   dikenal pasti dari jarak jauh melalui data masa nyata.

Katanya, BERNAS juga sedang meneroka penggunaan jentuai autonomi yang bergerak mengikut laluan ditetapkan selepas kawasan penuaian dipetakan dan dikawal menggunakan telefon pintar.

“Penggunaan teknologi pintar diharap dapat memudahkan pengurusan sawah, menarik penglibatan generasi muda serta membantu meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara,” katanya.

Selain itu, teknologi pintar turut digunakan dalam proses penanaman menerusi mesin penanam padi autonomi yang bergerak sendiri selepas kawasan sawah dipetakan serta boleh dikawal menggunakan telefon pintar.-UTUSAN

 

The post BERNAS perkasa pesawah menerusi teknologi digital appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved