
SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerinduan seorang anak yang masih menunggu kepulangan bapanya dikongsi isteri juruterbang Kapten Zainol Afiq selepas suaminya disahkan terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, petang semalam.
Izzati Syamimi menerusi hantaran di Threads berkongsi pertanyaan anaknya, Sofia, yang masih mengharapkan bapanya pulang seperti biasa.
“Mommy, daddy balik kan esok? Sofia rindu daddy. Kenapa orang ramai dengan kita”.
Izzati kemudian membalas dengan cuba menguatkan hati anaknya meskipun dirinya turut berdepan kehilangan besar.
“Sofia, mommy daddy sayang Sofia. Mommy pun masih berharap yang daddy akan balik. Kita kena kuat. Anak-anak mommy semua kuat.”

Sebelum itu, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan turut memuat naik dua hantaran meminta orang ramai mendoakan agar urusan keluarganya dipermudahkan.
“Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya. Tak Pernah i rasa sesakit ni... balik la”.
Hantaran itu turut disertakan tangkap layar yang menunjukkan kedudukan lokasi terakhir suaminya.
Dalam hantaran terbaharu pagi ini, Izzati turut memohon pihak media memberi ruang kepadanya dan keluarga untuk menghadapi saat sukar berkenaan.

Dalam kejadian petang semalam, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ke kawasan pedalaman Sarawak ketika kejadian.
Kesemua lima individu di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia.
Mereka ialah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, juruterbang Kapten Zainol Afiq, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.





