
LARUT – Seorang lelaki berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam selepas melarikan barang kemas di sebuah kedai emas di Batu Kurau di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Ramzi Mahmudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kecurian seutas rantai emas bernilai RM36,500 di premis tersebut pada pukul 3.15 petang kelmarin.
Siasatan mendapati suspek mengunjungi premis berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada 2 dan 3 September lalu dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan logam berharga tersebut.
“Hasil siasatan dan tindakan pantas, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki awal pagi semalam. Suspek direman selama empat hari sehingga 7 September bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Ramzi berkata, pihaknya dengan bantuan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang merampas beberapa barangan dipercayai mmepunyai kaitan dengan kes tersebut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE
The post Dua hari tinjau sebelum larikan emas RM36,500 appeared first on Kosmo Digital.






