
KUCHING, 7 Dis — Dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang sejak pagi Sabtu di Kampung Pasir Pandak, Santubong, ditemukan selamat pagi tadi.
Mangsa, Humaira Qalesya Mohd Dir dan sepupunya Nur Ashafieya Aisyah Abd Nasri Asrafie, dijumpai kira-kira tiga kilometer dari rumah nenek mereka selepas hampir sehari dilaporkan hilang.
Menurut Wakil Ketua Polis Daerah Kuching, DSP Zamry Ali, kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat tetapi kesejukan, berada di atas sebuah batu ketika pasukan SAR mengesan lokasi mereka.
“Jangan biarkan anak bermain di dalam parit. Walaupun air cetek, alirannya deras dan berbahaya. Jangan tunggu sehingga berlaku musibah,” katanya.
Operasi hari kedua yang melibatkan lebih 70 penduduk kampung, bomba dan polis itu ditamatkan kurang dua jam selepas kedua-dua mangsa ditemukan.
Difahamkan, mereka keluar bermain sejak awal pagi semalam sebelum gagal dikesan keluarga.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut. – The Malaysian Update
The post Dua Kanak-Kanak Hilang di Pasir Pandak Ditemui Selamat Pagi Ini appeared first on The Malaysian Update.
