
RANAU: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah masing-masing musnah dalam kebakaran di Kampung Mangkadait, di sini, petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Rantey Fred berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.45 petang sebelum menghantar lima anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 68 kilometer dari balai.
Beliau berkata kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu membabitkan dua struktur tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan tiba di lokasi kira-kira 4 petang dan mendapati orang awam telah berjaya memadam sebahagian besar kebakaran menggunakan air paip.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemadaman lanjut bagi memastikan sisa api dipadamkan dan kawasan berkenaan selamat,” katanya.
Operasi dikawal pada 4.05 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 5.40 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Rantey berkata operasi menghadapi kesukaran apabila jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan rumah berkenaan dengan mudah berikutan jalan masuk yang sempit.
Usaha penduduk untuk mengawal kebakaran turut terjejas akibat sumber air yang terhad, menyebabkan api merebak dengan pantas sebelum ketibaan pasukan bomba.
Sementara itu, di SANDAKAN, sebuah rumah kayu musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Sungai Batang, pagi Khamis.
Ketua BBP Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada 8.32 pagi dan tiba di lokasi pada 8.59 pagi, kira-kira 18 kilometer dari balai.
Beliau berkata kebakaran membabitkan sebuah rumah kayu berukuran kira-kira 70 x 30 kaki yang musnah 100 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 9.04 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kedua-dua kejadian.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.





