Dua kematian dalam sekolah seminggu, Saifuddin desak Fadhlina jawab di Parlimen

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 10:40 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Dua kematian dalam sekolah seminggu, Saifuddin desak Fadhlina jawab di Parlimen

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendesak Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memberikan penjelasan rasmi di Dewan Rakyat berhubung isu keselamatan di sekolah yang disifatkannya kini berada pada tahap meruncing.

Desakan itu menyusul selepas satu lagi insiden duka membabitkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, petang semalam.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu menzahirkan rasa amat sedih dengan tragedi berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, sambil menegaskan situasi keselamatan murid ketika ini tidak lagi boleh diterima.

“Saya mendesak menteri pendidikan memberikan sesi penerangan di Dewan Rakyat esok mengenai isu keselamatan murid di sekolah, sejurus selepas sesi jawab lisan.

“Rakyat berhak mendapat jawapan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, remaja Tingkatan Empat berkenaan ditemui meninggal dunia oleh neneknya yang hadir ke sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang usai menghadiri kelas bimbingan.

Tragedi di Yong Peng ini merupakan kes kematian pelajar kedua di kawasan sekolah dalam tempoh hanya satu minggu.

Pada 25 September lalu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua ditemui tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Susulan insiden di Kuala Pilah itu, polis telah menahan reman suspek utama iaitu seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bermula 26 September hingga 1 Oktober, manakala seorang lagi suspek direman dari 28 September hingga 3 Oktober.

Dalam masa sama polis turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan sedang giat dijalankan. - 3 Oktober, 2026

The post Dua kematian dalam sekolah seminggu, Saifuddin desak Fadhlina jawab di Parlimen appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved