
BATU PAHAT – Semua pihak diminta memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi menentukan fakta sebenar berhubung kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, yang ditemukan mati dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Ghazali berkata, pihaknya tidak mahu mendahului siasatan pihak berkuasa dalam kejadian yang mengundang kesedihan mendalam kepada keluarga mangsa.
Menurut beliau, orang awam termasuk pengguna media sosial juga diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian berkenaan.
“Berilah ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi menentukan fakta sebenar kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas turun meninjau lokasi kejadian dan menerima taklimat ringkas daripada pihak pentadbiran sekolah berhubung situasi serta perkembangan berkaitan kes tersebut.
Selepas meninjau lokasi, Muhammad Naqib turut menziarahi datuk dan nenek Allahyarhamah yang merupakan penjaga mangsa, selain menyampaikan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada keluarga berkenaan.
Katanya, keselamatan dan kesejahteraan murid perlu kekal menjadi keutamaan, justeru kejadian serius yang berlaku dalam kawasan sekolah perlu dilihat secara menyeluruh termasuk memastikan mekanisme keselamatan yang diwujudkan sentiasa berfungsi dengan berkesan.
“Johor sebelum ini telah menggerakkan beberapa usaha berkaitan keselamatan dan kesejahteraan murid termasuk Jawatankuasa Khas Perangi Buli, Kempen Antibuli serta gerak kerja berkaitan keselamatan sekolah.
“Kejadian ini mengingatkan kita bahawa usaha tersebut tidak boleh terhenti dan perlu terus diperkukuh melalui kerjasama semua pihak,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Bunuh di sekolah: Beri ruang polis siasat kes Irene Sofiya appeared first on Kosmo Online.






