
KUANTAN: Seorang penjual buah dan buruh antara tiga yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak sebuah kedai emas dengan bersenjatakan parang, Ogos lepas.
Mohd Noor Mat Ail, 45, Muhammad Farid Rasid, 30, dan Che Rosfaizul Aswadi Che Hamid, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan menggunakan dua parang di sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai di sini kira-kira 2 petang 21 Ogos.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim dan Khamisah Ismail.
Mohd Noor yang bekerja sebagai penjual buah dan Muhammad Farid, seorang buruh diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri manakala Che Rosfaizul Aswadi tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding itu, Fathin Nadhirah berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap mereka mengambil kira keseriusan kesalahan, faktor kepentingan awam dan risiko melarikan diri.
“Kejadian berlaku pada Ogos dan tangkapan pada Oktober. Ketika hendak ditangkap, tertuduh melawan hingga berlaku pergelutan,” katanya.
Nik Muammer Hurrie merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan terhadap dua anak guamnya manakala Che Rosfaizul Aswadi merayu dibenarkan jaminan kerana berhasrat mendapatkan khidmat peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tiga lelaki itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Dis.






